Binastra catat untung bersih RM91.1 juta pada 9MFYE2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra catat untung bersih RM91.1 juta pada 9MFYE2026

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 18 Dis – Binastra Corporation Berhad mencatat prestasi kewangan tertinggi setakat ini bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025 (Q3FYE2026).

 

Binastra dalam kenyataan hari ini berkata, bagi suku dalam tinjauan, untung selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 55.1% tahun ke tahun kepada RM37.5 juta, sekali gus mengekalkan margin PATAMI dua angka pada 10.1%, mencerminkan kecekapan pelaksanaan projek dan kawalan kos yang berdisiplin.

 

Pendapatan kumpulan bagi Q3FYE2026 melonjak 39.7% kepada RM371.4 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 55.8% kepada RM51.2 juta. 

 

Prestasi ini turut disokong oleh sumbangan LF Lansen Sdn Bhd, selepas pemerolehan selesai sebagai subsidiari 51% milik kumpulan.

 

Menurut Binastra, bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2025 (9MFYE2026), untung bersih kumpulan terus mencatat pertumbuhan kukuh, dengan PATAMI meningkat 39.8% kepada RM91.1 juta, melepasi keseluruhan prestasi tahun kewangan 2025.

 

Dalam tempoh sama, pendapatan kumpulan meningkat 51.6% kepada RM1.0 bilion, manakala PBT bertambah 39.5% kepada RM121.8 juta, disokong oleh peningkatan bilangan projek pembinaan yang sedang berjalan.

 

Setakat ini, Binastra telah memperoleh 10 surat anugerah material dengan nilai kontrak terkumpul RM2.2 bilion, di mana 44.2% terdiri daripada projek pusat data dan tenaga hijau, termasuk solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta projek di bawah Program Solar Skala Besar Kelima (LSS5).

 

Mengulas prestasi tersebut, Pengarah Urusan Binastra Corporation Berhad Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata prestasi kewangan bagi 9MFYE2026 mencerminkan kekuatan asas operasi kumpulan.

 

“Syarikat berbesar hati dengan pencapaian kumpulan yang didorong oleh komitmen dan kecemerlangan pelaksanaan pasukan kami. Keupayaan untuk menyampaikan hasil berkualiti secara konsisten merentasi portfolio projek yang semakin berkembang menjadi faktor utama kepada pertumbuhan untung bersih kumpulan,” katanya.

 

Beliau berkata, momentum kukuh dalam projek tenaga hijau turut menyokong aspirasi kumpulan untuk memperkukuh agenda kemampanan.

 

“Syarikat amat digalakkan dengan daya tarikan projek tenaga hijau yang kini membentuk bahagian bermakna daripada buku pesanan belum dilaksanakan bernilai RM4.6 bilion, selari dengan sasaran kepelbagaian portfolio dalaman kumpulan,” katanya.

 

Menurut beliau, Binastra akan terus memberi tumpuan kepada pembinaan kediaman sebagai teras perniagaan, khususnya di Lembah Klang dan Johor, di samping mengembangkan keupayaan dalam projek mampan, cekap tenaga dan berteknologi tinggi bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com