KUALA LUMPUR 18 Dis - Binasat Communications Bhd memeterai kontrak bernilai RM52.46 juta dengan sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan bagi menyediakan perkhidmatan internet terurus dan selamat menggunakan rangkaian SD-WAN (software-defined wide area network).
Dalam makluman di Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan sokongan telekomunikasi itu memaklumkan bahawa anak syarikatnya, Binasat Digital Sdn Bhd, telah menerima surat penerimaan daripada Lembaga Dius Api.
Lembaga Dius Api ialah sebuah agensi di bawah Jabatan Laut Malaysia yang bertanggungjawab menguruskan dana dan operasi bagi bantuan navigasi maritim, termasuk rumah api, pelampung, dan perkhidmatan trafik kapal, yang dibiayai melalui duti cahaya dikenakan ke atas kapal.

Menurut Binasat, kontrak tersebut merangkumi penyediaan perkhidmatan internet terurus dan selamat bagi ibu pejabat, pejabat kutipan, serta sistem navigasi Lembaga Dius Api. Kontrak selama 60 bulan itu akan bermula pada 2 Jan 2026 dan berakhir pada 1 Jan 2031.
Ini merupakan kontrak pertama yang diperoleh kumpulan itu bagi tahun ini dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak.
Saham Binasat ditutup tidak berubah pada 10 sen pada Khamis, menjadikan permodalan pasaran syarikat sebanyak RM60.4 juta. - DagangNews.com








