KUALA LUMPUR 17 April – Bina Puri Holdings Bhd (BPHB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Bina Puri Builder Sdn Bhd memperoleh kontrak RM156.4 juta daripada Easter Synergy Sdn Bhd bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan dan naik taraf jalan di kawasan Simunjan, Samarahan, Sarawak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak tersebut merangkumi skop kerja kejuruteraan awam termasuk kerja pembersihan tapak, kerja tanah, geoteknikal, sistem perparitan serta pembinaan jambatan.
“Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan kerja-kerja cerucuk, turapan jalan, pemasangan kelengkapan jalan serta langkah perlindungan dan penambahbaikan alam sekitar sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
“Jumlah nilai kontrak tersebut dianggarkan sebanyak RM156.45 juta dan akan dilaksanakan dalam tempoh 30 bulan, dengan tarikh siap disasarkan pada suku keempat 2028,” katanya dalam makluman tersebut.
Menurut syarikat, Easter Synergy Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di Malaysia dan terlibat secara aktif dalam aktiviti pembinaan.
BPHB menjelaskan bahawa penerimaan kontrak ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan, termasuk menyumbang kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham serta tahap keberhutangan kumpulan.
Bagaimanapun, syarikat menegaskan bahawa kontrak berkenaan tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham atau pegangan pemegang saham utama kumpulan.
Dalam masa sama, Lembaga Pengarah menyatakan projek tersebut adalah sebahagian daripada operasi biasa kumpulan dan tidak melibatkan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi lazim dalam industri pembinaan.
Lembaga Pengarah turut menegaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com








