BIMB Securities unjur keuntungan bersih PETRONAS Chemicals FY26 RM1.3 bilion, disokong peningkatan penggunaan loji kepada 90% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BIMB Securities unjur keuntungan bersih PETRONAS Chemicals FY26 RM1.3 bilion, disokong peningkatan penggunaan loji kepada 90%

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Mac — Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) dijangka kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2026 (FY26), sekali gus menandakan pemulihan selepas berdepan tekanan kerugian dan cabaran operasi sebelum ini.

 

Menurut BIMB Securities, prospek lebih positif itu disokong oleh jangkaan peningkatan harga produk, kadar penggunaan loji yang lebih tinggi serta pengurangan kerugian daripada segmen petrokimia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, persekitaran operasi yang semakin menyokong dijangka menjadi pemangkin utama kepada pemulihan prestasi kewangan syarikat.

 

“Kami menjangkakan PetChem kembali mencatat keuntungan pada FY26 dengan keuntungan bersih teras sebanyak RM1.3 bilion berbanding kerugian bersih teras RM755.7 juta sebelum ini.

 

“Unjuran ini disokong oleh peningkatan kadar penggunaan kepada 90% daripada 88% serta kenaikan harga produk sebanyak 19.6%,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Dalam pada itu, BIMB Securities turut menaikkan unjuran pendapatan PetChem bagi tempoh FY27 hingga FY28 sebanyak purata 85.8%.

 

Menurutnya, semakan itu didorong oleh harga petrokimia yang lebih kukuh, penambahbaikan margin produk serta prestasi lebih baik daripada aset berasaskan gas, dengan kos bahan mentah yang kekal stabil.

 

Seiring semakan tersebut, harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (sum-of-parts) turut dinaikkan kepada RM5.71 berbanding RM3.49 sebelum ini.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “pegang” terhadap saham PetChem, mengambil kira penilaian semasa yang telah mencerminkan sebahagian besar prospek positif, selain potensi kenaikan harga produk yang dilihat terhad pada paras semasa. - DagangNews.com