KUALA LUMPUR 22 Dis - Betamek Bhd menerusi anak syarikatnya, Betamek Electronics (M) Sdn Bhd (BESB) menerima surat pelantikan (LOA) daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) untuk membekalkan komponen elektronik bagi model kenderaan baharu Perodua.
Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu memaklumkan, bekalan komponen telah bermula pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Berdasarkan surat pelantikan tersebut, tempoh kontrak adalah selama enam tahun bermula 16 Disember 2025.
“Tempoh projek enam tahun ini dijangka menjana kira-kira RM176 juta hasil bagi kumpulan,” menurut kenyataan Betamek hari ini.
Syarikat itu berkata kontrak jangka panjang ini meningkatkan keterlihatan pengeluaran, menyokong ekonomi skala dan memperkukuh prospek pendapatan Betamek selaras dengan pengenalan model baharu Perodua yang lebih canggih dari segi elektronik dan sistem bersepadu.

Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani (gambar) berkata pelantikan Perodua mengukuhkan tahap kepercayaan yang dibina sepanjang dekad kerjasama, sambil menegaskan kumpulan itu berbangga menyokong jenama automotif terbesar negara dalam kitaran model baharu mereka.
“Kontrak ini mengukuhkan keterlihatan pengeluaran jangka panjang kami dan menekankan peranan kami sebagai rakan elektronik utama dalam ekosistem mobiliti Malaysia.
“Seiring teknologi kenderaan yang semakin maju, terutama dalam aspek keterhubungan dan elektrifikasi, Betamek komited untuk menyediakan rumusan yang boleh dipercayai, berskala dan berkualiti tinggi bagi menyokong pertumbuhan Perodua,” katanya. - DagangNews.com








