KUALA LUMPUR 24 Feb — Sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dijangka menjadi komponen teras dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) negara, menurut Maybank Investment Bank.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut berpandangan, kenaikan lanjut harga panel solar berpotensi menekan margin para pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sektor itu.
Demikian kesimpulan dirumuskan selepas ia menganjurkan Hari Korporat RE yang menghimpunkan beberapa pemain solar EPCC serta wakil Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) baru-baru ini.
"Banyak projek berskala utiliti kekal kukuh dengan pelaksanaan akan datang program Skim Bekalan RE Korporat (CRESS) dan solar berskala besar (LSS)," jelas Maybank IB dalam nota analisisnya hari ini.
Firma berkenaan namun memberi amaran mengenai risiko turun naik kos input khususnya harga panel solar yang perlu diberi perhatian kerana dikuatiri boleh menyebabkan penyusutan margin keuntungan.
Menurutnya, peralihan tenaga global terus menjadi megatrend berintensif modal, dengan pelaburan mencecah rekod AS$2.3 trilion (RM8.96 trilion) pada 2025, meningkat 8% tahun ke tahun (YoY).
Pasaran dunia tambah Maybank IB, dipacu kenderaan elektrik (EV), dan infrastruktur grid, manakala di Malaysia, pelaksanaan agenda RE kekal berpaksikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Setakat ini, kapasiti RE terpasang sudah mencapai 32%, melepasi sasaran 31% bagi 2025, sekali gus mencerminkan momentum pelaksanaan positif ke arah objektif penyahkarbonan jangka panjang," katanya.
Ia menjangkakan BESS menjadi elemen semakin penting dalam program RE berskala utiliti akan datang seperti CRESS dan LSS6, bagi menangani isu penjanaan solar fotovolta (PV) serta kestabilan grid.
Selain itu, banyak inisiatif BESS kendiri berpotensi diperkenalkan susulan penganugerahan empat projek berskala grid berkapasiti 100MW/400MWh setiap satu di bawah program MyBeST baru-baru ini.
Justeru Maybank IB optimis, apabila kapasiti solar terus berkembang selaras NETR, BESS akan menjadi infrastruktur asas untuk memastikan kestabilan bekalan dan kecekapan sistem di seluruh negara.
"Bagi keputusan 4Q25, kami menjangkakan prestasi bercampur dalam kalangan pemain solar EPCC, dengan syarikat yang terdedah kepada projek berskala utiliti dijangka mencatat hasil kukuh," katanya.
Sebaliknya jelas firma penyelidikan tersebut, segmen kediaman di bawah program Solar ATAP masih menyaksikan kadar penggunaan perlahan berikutan tempoh pulangan pelaburan yang lebih panjang.
Pemain solar bumbung namun mempunyai pendedahan signifikan kepada segmen komersial dan industri (C&I) yang lebih berdaya tahan, didorong permintaan berterusan bagi rumusan solar bersama BESS.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pendirian 'positif' terhadap sektor RE, dengan Solarvest Holdings Berhad kekal pilihan utama sektor menerusi harga sasaran RM3.67 sesaham. - DagangNews.com








