KUALA LUMPUR 27 Feb - Citaglobal Bhd merancang mengumpul RM42.09 juta menerusi penempatan persendirian sebanyak 46.77 juta saham baharu kepada Berjaya Securities Sdn Bhd pada harga 90 sen sesaham.
Berjaya Securities yang sebelum ini dikenali sebagai Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, adalah subsidiari milik penuh tidak langsung Berjaya Corporation Bhd yang dimiliki oleh taikun Tan Sri Vincent Tan.
Selepas penempatan itu selesai, Berjaya Securities akan muncul sebagai pemegang saham ketiga terbesar dengan pegangan 8.66% di bawah senario minimum, atau 6.59% sekiranya semua waran dan saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) Citaglobal dilaksanakan dan ditukar sepenuhnya, menurut makluman kepada Bursa Malaysia.
Berikutan pelaksanaan tersebut, TIZA Global Sdn Bhd akan kekal sebagai pemegang saham terbesar Citaglobal dengan pegangan 26.86%. TIZA Global merupakan syarikat pelaburan persendirian Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Mohamad Norza Zakaria.
Pegangan TIZA Global diikuti oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan 11.92%, serta Dedap Rimbun Sdn Bhd sebanyak 7.79%, berdasarkan senario minimum.
Dedap Rimbun dimiliki oleh Datuk Shabaruddin Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis Sdn Bhd, pemaju induk bagi projek Koridor Maritim Perlis.
Harga terbitan 90 sen itu mewakili premium antara 1.16% berbanding harga purata wajaran volum lima hari (VWAP) dan premium 7.04% berbanding VWAP tempoh 12 bulan.
Citaglobal memaklumkan daripada hasil kasar RM42.09 juta itu, sebanyak RM13.5 juta akan digunakan untuk membayar balik dan menjelaskan baki bahagian tunai bagi pengambilalihan tanah di Gebeng, Pahang.
Sejumlah RM18.5 juta lagi diperuntukkan bagi pengembangan dan pelaburan dalam perniagaan sedia ada, termasuk pemerolehan projek hidro kecil, projek solar berskala besar serta kemudahan naik taraf biogas kepada gas asli termampat bio (bio-CNG).
Modal Kerja
Sebanyak RM8.6 juta akan diperuntukkan sebagai modal kerja, manakala baki RM1.49 juta disediakan bagi anggaran perbelanjaan berkaitan pelaksanaan cadangan tersebut.
Penempatan persendirian itu dijangka selesai menjelang suku kedua 2026, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan Bursa Securities.
TA Securities dilantik sebagai penasihat utama dan ejen penempatan bagi pelaksanaan tersebut.
Saham Citaglobal ditutup susut setengah sen atau 0.55% kepada 90 sen pada Khamis, sekali gus memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM444 juta. - DagangNews.com








