KUALA LUMPUR 4 Mei – Berjaya Group melalui dua anak syarikatnya, Selat Abadi Sdn Bhd dan Berjaya Rail Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik dengan MARA Liner Sdn Bhd bagi memperkukuh agenda nasional serta memperluaskan lagi penyertaan Bumiputera dalam sektor mobiliti dan rel.
Kerjasama itu dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani sempena sambutan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan bersama, inisiatif ini sejajar dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang menekankan pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta pembangunan kapasiti industri dalam negara.
Fokus utama kerjasama ini merangkumi tiga bidang iaitu rantaian bekalan tempatan, pembangunan bakat melalui pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), serta pengukuhan keusahawanan Bumiputera.
Dalam aspek rantaian bekalan, kedua-dua pihak akan mengenal pasti dan mengintegrasikan vendor Bumiputera berpotensi tinggi ke dalam ekosistem pembuatan serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Langkah ini dilihat mampu meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam industri berkaitan mobiliti serta mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar.
Bagi aspek pembangunan bakat pula, kerjasama ini akan memanfaatkan rangkaian institusi pendidikan MARA untuk membangunkan program latihan industri khusus.
Program tersebut akan memberi tumpuan kepada bidang berteknologi tinggi seperti teknologi hijau, pendigitalan serta industri rel moden bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi keperluan masa depan.
Selain itu, kerjasama ini turut menyasarkan pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera melalui bimbingan serta akses pasaran yang lebih luas.
Berjaya turut menyokong usaha MARA dalam membantu syarikat Bumiputera berpotensi untuk berkembang sehingga mampu disenaraikan di Bursa Malaysia pada masa hadapan.
Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun berkata kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam membina ekosistem ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARA Liner Sdn Bhd, Wan Agyl Wan Hassan berkata kerjasama dengan konglomerat seperti Berjaya akan mempercepatkan pembangunan industri Bumiputera dalam sektor mobiliti.
Beliau berkata, MARA akan terus memainkan peranan dalam membangunkan bakat dan peluang keusahawanan agar lebih kompetitif serta mampan dalam jangka panjang.
Inisiatif ini dijangka bermula dengan pelaksanaan program perintis pada suku ketiga 2026 yang memberi tumpuan kepada pendigitalan dan pemusatan sistem penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam sektor berkaitan. - DagangNews.com








