Belum selesai! PETRONAS, PETROS masih berunding kerangka pengagihan gas Sarawak, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belum selesai! PETRONAS, PETROS masih berunding kerangka pengagihan gas Sarawak, Parlimen diberitahu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Nov – Rundingan antara syarikat minyak negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) mengenai pengagihan gas di negeri itu masih berjalan, hampir enam bulan selepas kerajaan persekutuan dan Sarawak menandatangani pengisytiharan bersama yang mengiktiraf Petros akan bertindak sebagai pengagregat gas untuk negeri tersebut.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perbincangan tersebut mengambil masa kerana ia perlu mengambil kira prinsip komersial, kepentingan bersama, dan kemampanan industri.

 

“Ini juga bertujuan mewujudkan kerangka kerjasama strategik, inklusif, dan saksama dalam jangka masa panjang,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada Isnin.

 

 

 

 

 

 

Awang Hashim bertanya mengenai status rundingan hak minyak dan gas antara Petronas dan Sarawak, termasuk sebarang potensi pertikaian dan implikasi Petronas mempertimbangkan tindakan undang-undang.

 

Rundingan antara kedua-dua entiti telah menemui jalan buntu di tengah-tengah desakan yang semakin meningkat daripada Sarawak untuk mendapatkan kawalan yang lebih besar ke atas sumber minyak dan gasnya serta bahagian pulangan yang lebih besar, termasuk bahagian bekalan gas yang lebih tinggi untuk pembangunan domestik.

 

Sarawak, yang memiliki lebih 40% rizab gas Malaysia, juga mengeksport gas asli cecair (LNG) melalui kontrak yang dipegang oleh Petronas.

 

Dalam pengisytiharan bersama yang ditandatangani selepas perbincangan pada 21 Mei antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kedua-dua pihak turut mengesahkan pengiktirafan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang persekutuan dan memberi jaminan bahawa kontrak eksport LNG sedia ada tidak akan terjejas.

 

Berdasarkan maklum balas daripada Petronas, prinsip utama di bawah rundingan yang berterusan termasuk memastikan semua undang-undang persekutuan dan negeri mengenai pengagihan gas di Sarawak wujud bersama dan dihormati oleh pemain industri, kata Azalina.

 

Petronas akan terus melaksanakan peranannya di bawah PDA, meliputi aktiviti huluan dan jualan LNG ke pasaran antarabangsa, manakala pelantikan Petros sebagai pengagregat gas untuk pasaran domestik Sarawak akan diiktiraf oleh semua peserta industri.

 

Di samping itu, semua kontrak sedia ada dan akan datang antara Petronas atau anak-anak syarikatnya dengan pihak ketiga untuk jualan LNG — daripada operasi huluan hingga eksport — akan kekal sah dan tidak terjejas, tambahnya.

 

“Petronas terus berusaha untuk menyelesaikan perkara ini melalui rundingan dan kerjasama, memastikan kepentingan semua pihak berkepentingan dilindungi sambil mengekalkan kestabilan dan kemampanan industri minyak dan gas negara,” kata Azalina.

 

 

 

 

 

 

Permintaan Gas Sarawak Dijangka Meningkat kepada 500 mmscfd

Dalam jawapan berasingan kepada Chong Chieng Jen (PH-Stampin), Azalina berkata permintaan gas asli domestik di Sarawak untuk pasaran bukan LNG dijangka mencecah 500 juta kaki padu standard sehari (mmscfd).

 

Untuk tahun 2023-2024, purata permintaan adalah sekitar 400 mmscfd, katanya.

 

Azalina menambah, Petronas kekal komited untuk memastikan 1.2 bilion kaki padu standard sehari (bscfd) diperuntukkan bagi memenuhi permintaan gas domestik Sarawak menjelang 2030.

 

Gas asli itu tidak dijual secara langsung kepada kerajaan Sarawak tetapi dibekalkan kepada industri hiliran di negeri itu yang telah menandatangani perjanjian jualan gas (GSA) dengan Petronas di bawah terma dan syarat komersial, katanya. - DagangNews.com