Beli konsesi asrama pelajar bawah harga sebenar, keuntungan Gagasan Nadi Cergas melonjak 12 kali ganda kepada RM73.8 juta pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Beli konsesi asrama pelajar bawah harga sebenar, keuntungan Gagasan Nadi Cergas melonjak 12 kali ganda kepada RM73.8 juta pada FY25

Projek Idaman Bukit Jelutong
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb – Kumpulan pembinaan dan hartanah, Gagasan Nadi Cergas Berhad mencatatkan prestasi kewangan tahunan terbaik apabila keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 melonjak lebih 12 kali ganda kepada RM73.8 juta berbanding RM5.9 juta pada tahun sebelumnya.

 

Lonjakan keuntungan ini didorong terutamanya oleh keuntungan bersih daripada pembelian konsesi asrama pelajar yang melebihi nilai sebenar asetnya.

 

Jika keuntungan daripada pembelian konsesi dikecualikan, keuntungan bersih FY2025 daripada operasi teras masih meningkat 36.3 peratus kepada RM27.1 juta berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata pendapatan bagi tahun kewangan 2025 turut meningkat kepada RM413.9 juta, naik 57.5 peratus berbanding RM262.8 juta pada tahun kewangan 2024. 

 

“Peningkatan ini disokong oleh kemajuan kukuh projek pembangunan hartanah, terutamanya projek Rumah Idaman yang sedang dibangunkan dan telah siap.

 

“Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM54.7 juta daripada RM0.05 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan keuntungan daripada pembelian konsesi. 

 

“Pendapatan suku keempat meningkat 32.4 peratus kepada RM95.6 juta daripada RM72.2 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Gagasan Nadi Cergas kini membangunkan tujuh projek Rumah Idaman mampu milik di Selangor dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad, termasuk Idaman Kwasa Damansara R4-1, R4-2, R4-2A, Idaman Amani, Idaman Elmina 5, Idaman Elmina 12, dan Idaman Rimbayu.

 

Kesemua projek ini melibatkan 14,000 unit dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak RM3.8 bilion. Selain itu, beberapa projek perumahan dan komersial di Ulu Yam, Serendah dan Kuala Lumpur bernilai RM821.6 juta sedang dalam pelaksanaan.

 

Jumlah jualan belum direkodkan bagi segmen pembangunan hartanah adalah RM238 juta dan akan diiktiraf sebagai pendapatan dalam tempoh empat tahun akan datang.

 

Segmen pembinaan juga kekal kukuh dengan pesanan luar berjumlah RM229.3 juta pada 31 Disember 2025 serta kerja-kerja pembinaan dalaman yang dijalankan sendiri untuk menyokong projek pembangunan hartanah.

 

Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 2 sen sesaham bagi FY2025. Tarikh hak pemegang saham adalah pada 15 April 2026 dan pembayaran dividen dijangka dibuat pada 15 Mei 2026.

 

Gagasan Nadi Cergas juga mencadangkan penerbitan bonus waran pada kadar satu waran bagi setiap dua saham sedia ada, melibatkan 376.5 juta waran lima tahun dengan harga pelaksanaan RM0.32 setiap waran.

 

Jika dilaksanakan sepenuhnya, syarikat dijangka mengumpul RM120.48 juta bagi modal kerja dan jumlah modal saham akan meningkat kepada RM256.9 juta daripada RM136.4 juta. - DagangNews.com