KUALA LUMPUR 13 Okt – Belanjawan 2026 bukan sahaja mencerminkan pendekatan berhemat dalam pengurusan fiskal tetapi turut menonjolkan keperluan yang semakin mendesak untuk penyertaan sektor swasta dalam memacu pembangunan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), Arshad Mohamed Ismail berkata, keputusan kerajaan untuk menyemak semula perbelanjaan pembangunan kepada RM81 bilion bagi tahun 2026 mengukuhkan komitmen terhadap kecekapan dan keberkesanan dalam pelaksanaan dasar negara.
"Dengan adanya rangka kerja seperti Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta (PPP) 2030, ruang kini terbuka luas untuk sektor swasta memainkan peranan yang lebih menyeluruh — bukan sahaja sebagai penyumbang dana, tetapi juga sebagai rakan pelaksana, pemacu inovasi dan penyedia penyelesaian," kata dalam kenyataan.

Arshad berkata, Belanjawan 2026 turut memperlihatkan komitmen kerajaan yang jelas terhadap pembangunan sosial dengan peruntukan besar bagi dua kementerian utama iaitu RM63.5 bilion kepada Kementerian Pendidikan dan RM43.1 bilion kepada Kementerian Kesihatan.
"Ini merupakan pelaburan jangka panjang yang strategik dalam membina modal insan berdaya saing dan sistem kesihatan yang berdaya tahan, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.
Dalam masa yang sama, katanya, Malaysia terus komited terhadap pembangunan infrastruktur awam menerusi kesinambungan projek-projek utama termasuk Lebuh Raya Pan Borneo, Projek tebatan banjir dan Peningkatan sistem pengangkutan bandar.
"Inisiatif ini bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi tetapi juga memperkukuh jaringan logistik dan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan negeri-negeri yang kurang membangun," tambahnya.
Arshad berkata, Belanjawan 2026 dihasilkan selari usaha konsisten kerajaan untuk mengimbangi disiplin fiskal dengan pertumbuhan ekonomi dengan sasaran untuk mengecilkan defisit kepada 3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, ini mencerminkan pendekatan pragmatik pengurusan fiskal bukan sahaja tertumpu kepada meningkatkan hasil, tetapi juga kecekapan dalam perbelanjaan.
Jelasnya, penekanan berterusan terhadap kecekapan dan pembaharuan tadbir urus, melalui inisiatif seperti Rang Undang-Undang Komitmen Kecekapan Perkhidmatan Awam 2025 dan Akta Perolehan Kerajaan 2025, menandakan komitmen kerajaan untuk memperkukuh akauntabiliti serta meningkatkan kualiti perbelanjaan awam.
Menurutnya, pelaksanaan e-Invois pada tahun 2026 merupakan langkah penting ke arah memperkukuh asas fiskal negara.
"Selain berpotensi meningkatkan kutipan cukai, sistem ini juga mewakili pemodenan ekosistem percukaian, yang dapat memupuk ketelusan, mengurangkan ketirisan, dan menggalakkan pematuhan yang lebih meluas.
"Namun begitu, ujian sebenar terletak pada sejauh mana kelancaran adaptasi dalam kalangan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terhadap sistem baharu ini," katanya.
Arshad berkata, pada tahap yang lebih menyeluruh, Belanjawan 2026 kekal teguh menyokong agenda transformasi struktur ekonomi negara.
Pelaksanaan berterusan inisiatif strategik seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Nasional Semikonduktor (NSS), Pelan Tindakan Teknologi AI Negara 2026–2030 dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) jelas mencerminkan hasrat kerajaan untuk membawa ekonomi Malaysia ke arah pertumbuhan berteraskan inovasi, nilai tambah tinggi dan daya tahan jangka panjang.
Pada masa yang sama, ujarnya, nilai-nilai Ekonomi MADANI kekal menjadi teras dalam pendekatan belanjawan kali ini, khususnya dalam aspek perlindungan sosial.
Ini dibuktikan dengan peruntukan RM10.2 bilion untuk program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan terus merangsang penggunaan domestik secara mampan. - DagangNews.com








