KUALA LUMPUR 13 Okt – Belanjawan 2026 menunjukkan pendekatan holistik yang mengagihkan tanggungjawab kos kesihatan secara lebih seimbang antara kerajaan, penyedia perkhidmatan, insurans dan pengguna, menurut CGS International.
Menurut firma penyelidikan itu, peruntukan sebanyak RM46.5 bilion kepada sektor penjagaan kesihatan dalam Belanjawan 2026 meningkat 2.6% tahun ke tahun (y-o-y) disifatkan sebagai langkah berhemah dan strategik, memandangkan perbelanjaan sebenar kerajaan untuk 2024 adalah RM38.6 bilion, lebih rendah daripada bajet asal RM41.2 bilion.
Sehubugan itu CGSI mengekalkan saranan ‘Overweight’ ke atas sektor penjagaan kesihatan, dan melihat pendekatan kerajaan dalam menangani inflasi perubatan sebagai lebih menyeluruh, dengan kerjasama antara kerajaan, penyedia perkhidmatan, syarikat insurans, dan rakyat.
Katanya, empat inisiatif utama Belanjawan 2026 yang berpotensi memberi kesan langsung kepada pengendali penjagaan kesihatan swasta termasuk:
1. Pengenalan produk insurans baharu berasaskan Diagnosis Related Group (DRG) melalui kerjasama dengan syarikat insurans, bagi mengawal kos dan meningkatkan kebolehcapaian penjagaan kesihatan.
2. Pelepasan cukai diperluas sehingga RM3,000 untuk bayaran premium insurans dan takaful kesihatan, kini turut merangkumi anak-anak sebagai tanggungan. Pengecualian duti setem bagi produk tertentu insurans turut dilanjutkan selama tiga tahun hingga 2028.
3. Penubuhan ‘Dana Kebajikan Hospital’ oleh hospital swasta untuk membantu pesakit yang memerlukan bantuan kewangan tambahan. Dana ini akan diurus secara bebas, dan sumbangan hospital layak mendapat potongan cukai manakala pulangan pelaburan dana akan dikecualikan cukai.
4. Akaun Sejahtera KWSP boleh digunakan untuk melanggan produk insurans kesihatan dan takaful (MHIT), memberikan lebih fleksibiliti kepada pencarum untuk melindungi kesihatan diri dan keluarga.
Selain usaha menangani kos rawatan, kerajaan turut memperkenalkan langkah-langkah untuk menambah baik infrastruktur kesihatan awam dan menarik serta mengekalkan tenaga kerja profesional kesihatan.
Selain itu menggalakkan gaya hidup sihat, termasuk kenaikan cukai eksais terhadap produk tembakau dan alkohol.
CGSI menjangkakan pertumbuhan sihat untuk hospital swasta tersenarai, didorong oleh pertambahan kapasiti katil sekitar 10%** dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Selain itu permintaan kukuh daripada pesakit tempatan dan antarabangsa, dan pemacu harga baharu melalui penyenaraian berpotensi Sunway Healthcare pada suku pertama 2026, seperti dilaporkan media.
CGSI memilih IHH Healthcare sebagai saham pilihan utama bagi sektor ini, dengan kelebihan dari segi diversifikasi geografi, termasuk pemulihan semula operasi Mt. Elizabeth Orchard di Singapura. IHH dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan di luar Malaysia.
Sebaliknya, KPJ Healthcare mungkin terdedah kepada tekanan berkaitan pembayar (payor pressure) dalam pasaran domestik Malaysia, walaupun kekal pada saranan positif.
CGSI turut menegaskan tiada sebarang dasar dalam Belanjawan 2026 yang menimbulkan risiko ketara terhadap pengendali hospital swasta. - DagangNews.com








