Belanjawan 2026 masih belum cukup strategik pacu ekonomi kreatif jangka panjang – penggiat industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026 masih belum cukup strategik pacu ekonomi kreatif jangka panjang – penggiat industri

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Okt – Penggiat industri pengiklanan dan pemasaran kreatif menyifatkan Belanjawan 2026 masih belum cukup strategik atau berjangka panjang untuk memacu pertumbuhan mampan sektor kreatif di Malaysia.

 

Penggiat industri berpandangan meskipun beberapa inisiatif yang diumumkan dilihat positif dan berpihak kepada pembangunan ekosistem tempatan, ia masih bersifat sementara untuk jangka masa pendek.

 

Bagaimanapun, mereka menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan RM140 juta untuk sektor kreatif termasuk bidang perfileman, konsert, permainan digital dan animasi yang dilihat mampu memberi limpahan positif kepada industri pengiklanan.

 


Presiden Persatuan Agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), Tan Kien Eng berkata, belanjawan kali ini mempunyai beberapa langkah “terpuji” bagi merangsang ekonomi kreatif dan meningkatkan perbelanjaan pengguna, namun banyak inisiatif yang diperkenalkan masih bersifat sementara dan terhad dari segi visi.

 

“Sebahagian besar peruntukan kelihatan tertumpu kepada penyelenggaraan, langkah sementara dan intervensi jangka pendek. Realiti global yang semakin pantas berubah akibat faktor seperti dinamik perdagangan dan kecerdasan buatan (AI) menuntut pendekatan yang lebih progresif daripada kerajaan.

 

“Pastinya, belanjawan berorientasikan masa depan akan membolehkan industri kreatif dan perniagaan Malaysia berkembang lebih pesat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat memperkasa usahawan tempatan untuk membina jenama kukuh melalui sokongan penjenamaan dan pemasaran berterusan agar mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

 

t

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IPG Mediabrands, Darren Yuen berkata, walaupun belanjawan kali ini menekankan infrastruktur digital dan disiplin fiskal, kerajaan masih belum memformalkan ekonomi kreatif sebagai enjin pertumbuhan nasional.

 

“Masih kurang sokongan tersusun untuk inovasi pemasaran, teknologi pemasaran (martech) dan pembangunan bakat, bidang penting yang menentukan daya saing dan potensi jenama tempatan,” jelasnya.

 

Sehubungan itu, Yuen turut mencadangkan agar lebih banyak insentif disediakan bagi menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam kandungan tempatan, harta intelek kreatif dan teknologi penceritaan untuk menjadikan Malaysia hab kreatif serantau pada masa akan datang.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Havas Malaysia, Nizwani Shahar berkata, kerajaan wajar memberi pengiktirafan lebih besar terhadap peranan pemasar dalam membentuk budaya, inovasi dan identiti nasional.

 

“Kita sering bercakap tentang infrastruktur digital dan start-up, tetapi kreativiti juga aset negara. Geran untuk penciptaan kandungan, latihan kemahiran kreatif atau sokongan untuk agensi tempatan boleh memperkukuh reputasi Malaysia sebagai pusat kreativiti,” ujarnya.

 

Namun, beliau menyifatkan Langkah kerajaan yang memfokuskan aspek pendigitalan, R&D dan AI dalam belanjawan sebagai petanda positif bahawa kerajaan serius mahu membawa Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi.

 

“Pengguna akan lebih berhati-hati berbelanja, jadi jenama perlu lebih kretaif dan mencipta kempen yang boleh menyentuh hati golongan itu,” katanya.

 

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Dentsu Malaysia, Audrey Chong pula, beliau berkata, peruntukan itu membuka lebih banyak peluang bagi jenama tempatan membina naratif yang kuat, mempromosikan identiti negara dan menarik produksi antarabangsa ke Malaysia.

 

“Fokus berterusan terhadap pembangunan kemahiran dan ekosistem kandungan digital akan memperkukuh daya saing global kita, dengan Malaysia berpotensi menjadi pusat kandungan dan penceritaan bertaraf dunia,” katanya. - DagangNews.com