Belanjawan 2026: Gabungan artis dan penggiat seni desak 0.1% peruntukan kepada industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: Gabungan artis dan penggiat seni desak 0.1% peruntukan kepada industri

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt – ReformARTsi menggesa kerajaan Malaysia memperuntukkan sekurang-kurangnya 0.1% daripada bajet tahunan negara untuk sektor seni dan budaya bagi memastikan pembangunan sektor ini lebih mampan, strategik dan inklusif.

 

ReformARTsi merupakan gabungan 180 artis tempatan termasuk wakil daripada 65 organisasi seni yang memperjuangkan perubahan dasar dalam bidang pendidikan seni, kebebasan bersuara dan pembiayaan seni.

 

ReformARTsi dalam satu kenyataan menegaskan pelaburan konsisten dalam bidang seni dan budaya penting bagi memelihara warisan negara, membentuk masyarakat yang berfikiran kritikal dan kreatif, serta memperkukuh identiti nasional.

 

Gabungan itu berkata, dana untuk sektor ini perlu diberikan secara khusus dan tidak diserap ke dalam perbelanjaan sektor lain seperti pelancongan. 

 

“Peruntukan tetap akan membolehkan pembangunan jangka panjang dapat dirancang secara menyeluruh.

 

“Ketika ini, landskap semasa sektor seni dan budaya masih berdepan pelbagai kekangan termasuk tadbir urus yang berpecah antara pelbagai kementerian dan agensi, ketiadaan mekanisme penilaian impak serta geran bermusim jangka pendek.

 

“Keadaan ini menyebabkan ramai artis dan penggiat budaya terpaksa bergantung kepada penyelesaian sementara seperti menerima bayaran rendah, kutipan dana awam atau tajaan korporat bagi memastikan projek mereka dapat diteruskan.

 

“Pendekatan ini tidak mampan dan memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan seni dan budaya negara,” kata gabungan itu.

 

t

 

ReformARTsi turut menggesa kerajaan memperluas sumber pembiayaan, meningkatkan ketelusan dan ketepatan masa dalam proses pemberian dana, selain memastikan maklumat mengenai penerima, jenis geran dan justifikasi pemberian diumumkan secara terbuka.

 

Agensi kerajaan yang dilantik untuk menguruskan dana juga digesa melaporkan secara menyeluruh bagaimana peruntukan tersebut digunakan setiap tahun. 

 

Gabungan itu juga mahu dana itu boleh diakses oleh semua artis tanpa mengira latar belakang, kepercayaan atau disiplin seni.

 

Selain aspek kewangan, ReformARTsi mencadangkan penubuhan satu pasukan petugas khas yang dianggotai majoriti penggiat seni dan budaya daripada kerajaan serta komuniti akar umbi untuk merangka Pelan Induk Seni dan Budaya Kebangsaan 15 Tahun.

 

“Pelan ini akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pendidikan seni di sekolah awam, menjamin hak asasi artis, serta menubuhkan sebuah kementerian khusus bagi menyelaras tadbir urus dan peruntukan bajet untuk sektor seni dan budaya.

 

“Tanpa pelan jangka panjang, isu dalam sektor seni dan budaya hanya akan ditangani secara reaktif dan menyukarkan industri ini untuk berkembang secara mampan,” katanya.

 

Menurutnya lagi, ketiadaan pelan menyeluruh akan menjejaskan keupayaan negara bersaing di peringkat global serta meningkatkan risiko kehilangan memori budaya dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

 

Orang ramai yang prihatin terhadap pembangunan sektor seni digalakkan menyokong petisyen “Seni Untuk Semua” yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Petisyen itu menggariskan desakan untuk pelan jangka panjang sektor seni dan budaya negara.- DagangNews.com