KUALA LUMPUR 15 Okt - Belanjawan 2026 dihasilkan tidak bersandarkan teori ekonomi semata-mata, sebaliknya dirangka berdasarkan realiti semasa, cabaran fiskal negara dan komitmen luar biasa oleh pegawai-pegawai Kementerian Kewangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kaedah itu mencerminkan pendekatan baharu kerajaan yang menekankan tadbir urus yang kukuh, disiplin fiskal, serta keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
“Setiap belanjawan negara mesti disesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teori ekonomi ideal yang tidak mengambil kira kekangan sebenar negara,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putajaya hari ini.
Anwar berkata, landskap ekonomi negara kini jauh berbeza berbanding era 1990-an, ketika Malaysia mencatat pertumbuhan melebihi 10% setahun dan defisit yang kecil.
“Kini, kita mewarisi beban hutang yang tinggi serta defisit fiskal yang besar, yang memerlukan pendekatan lebih berhemah dan seimbang,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa semua faktor ini perlu diteliti secara menyeluruh sebelum kerajaan boleh merangka kerangka belanjawan yang bersesuaian dengan keperluan ekonomi semasa.
“Itulah sebabnya sejak saya mengambil alih pentadbiran, fokus utama saya adalah memperkukuh tadbir urus,” tegasnya.
Perdana Menteri berkata, tadbir urus yang baik dan integriti adalah tunjang kepada usaha kerajaan membina semula keyakinan terhadap institusi pentadbiran, termasuk memperkasakan keupayaan agensi penguatkuasaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita berjaya mengutip sebanyak RM15.5 bilion hasil daripada rampasan, tunggakan cukai, penyeludupan rokok dan arak, serta sindiket penipuan dalam talian. Ini bukan hasil cukai baharu, tetapi hasil daripada penguatkuasaan bersih dan tadbir urus yang ketat.
“Jika hasil negara meningkat kerana kita berjaya menghentikan ketirisan dan rasuah, mengapa perlu kita bebankan rakyat dengan cukai tambahan?” soal beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan dasar fiskal kerajaan kini berteraskan keseimbangan antara pengurangan defisit dan hutang negara dengan pemeliharaan kebajikan rakyat.
“Kita telah berjaya menurunkan defisit daripada 5.6% kepada 3.8%. Ini merupakan pencapaian besar. Namun saya tidak mahu ia dilakukan secara tergesa-gesa, kerana jika terlalu drastik, rakyat pula yang akan terhimpit,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan subsidi bersasar, Anwar menjelaskan kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan penjimatan tidak mengorbankan kebajikan golongan berpendapatan rendah.
“Kita tidak mahu rakyat terbeban hanya kerana mahu mencapai angka cantik dalam laporan ekonomi. Teori ekonomi mesti berpijak di bumi nyata, bukan di awangan. Sebab itulah subsidi bersasar dilaksanakan dengan ketelitian dan keadilan,” katanya,
Perdana Menteri turut memuji perubahan sikap dalam kalangan pegawai Kementerian Kewangan yang kini lebih memahami keperluan untuk mengimbangi pengurusan fiskal dengan kebajikan rakyat.
“Saya lihat mereka tidak lagi hanya berfikir soal cukai dan angka semata-mata, tetapi lebih teliti, berhati-hati dan peka terhadap keresahan rakyat. Ini adalah satu perubahan besar dalam budaya pentadbiran,” katanya. - DagangNews.com








