KUALA LUMPUR 23 Feb - Kim Teck Cheong Consolidated Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Dr Yatimah Sarjiman sebagai pengarah syarikat berkuat kuasa 20 Februari 2026.
Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau berkata, lembaga pengarah yakin pengalaman luas Yatimah akan membawa nilai signifikan kepada kumpulan.
“Datuk Dr Yatimah membawa bersama lebih tiga dekad pengalaman perkhidmatan awam yang cemerlang serta kepimpinan strategik merangkumi perancangan nasional, pembangunan ekonomi dan tadbir urus.
“Pengalaman luas serta wawasan dasar beliau akan terus memperkukuh lembaga pengarah ketika kami memacu pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Kim Tech Cheong merupakan syarikat pengedar barangan pengguna berbungkus (CPG) utama di Malaysia Timur dan Brunei, yang mengendalikan lebih 13 pusat pengedaran serta lebih 8,700 titik jualan.
Yatimah mempunyai 34 tahun pengalaman dalam perancangan dasar awam, pengurusan sumber manusia dan kewangan, pembangunan ekonomi serta pentadbiran wilayah, pentadbiran sosial selain hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar.
Kepakaran profesional beliau merangkumi pembangunan luar bandar, struktur industri antarabangsa, industri perladangan serta pemerkasaan wanita.
Jawatan strategik dan kanan sektor awam
Sepanjang kerjayanya dalam sektor awam, Yatimah pernah memegang beberapa jawatan strategik termasuk Timbalan Ketua Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri serta Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pertanian dan Timbalan Pengarah Bahagian Infrastruktur dan Utiliti di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.
Paling terakhir, sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) di Kementerian Ekonomi, beliau memainkan peranan penting dalam penggubalan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di Parlimen.
Beliau turut menyumbang kepada penggubalan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang dilancarkan pada Julai 2023 serta Dasar Tenaga Nasional 2022, bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara rendah karbon menjelang 2040.
Selain peranan baharunya di Kim Teck Cheong, Yatimah kini menganggotai lembaga pengarah Petronas Gas Berhad, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Felda Investment Corporation Sdn Bhd, PR1MA Communications Sdn Bhd serta UEM Group Berhad.
Yatimah memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dalam Sistem Maklumat Perakaunan daripada Idaho State University, Amerika Syarikat; Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Perakaunan dan Kewangan daripada Northrop University, Amerika Syarikat; serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia. - DagangNews.com








