Bekas Pengerusi Hektar REIT, Hasli Hashim dilantik sebagai Pengerusi Affin Hwang Investment Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Pengerusi Hektar REIT, Hasli Hashim dilantik sebagai Pengerusi Affin Hwang Investment Bank

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Okt – Affin Bank Berhad (ABB) mengumumkan pelantikan Hasli Hashim sebagai Pengerusi baharu Affin Hwang Investment Bank Berhad (AHIB), anak syarikat milik penuh ABB, berkuat kuasa 23 Oktober 2025.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ABB berkata, Hasli, seorang veteran industri kewangan dengan pengalaman lebih 35 tahun, sebelum ini memegang jawatan kepimpinan di Malayan Banking Berhad Group, OCBC Bank, Pacific Bank dan United Malayan Banking Corporation.

 

Beliau telah berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas AHIB sejak April 2021, dan kini juga ahli Jawatankuasa IT dan Transformasi Lembaga Kumpulan serta Jawatankuasa Pengurusan Risiko Lembaga. 

 

Selain itu, beliau mengetuai Jawatankuasa Pelaburan Strategik AHIB dan turut menyumbang sebagai ahli Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat Bank Negara Malaysia.

 

Hasli sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi Hektar REIT dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas EXIM Bank Berhad. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Kewangan dan Ekonomi dari Indiana State University, Amerika Syarikat.

 

Pelantikan ini dijangka mengukuhkan kepimpinan AHIB serta menyokong pertumbuhan strategik dan pengurusan risiko yang mampan dalam persekitaran pasaran kewangan yang kompetitif. - DagangNews.com