KUALA LUMPUR 3 April – NexG Bhd melantik dua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu dalam usaha memperkukuhkan lagi kepimpinan strategik syarikat itu berkuat kuasa 2 April 2026.
Dua individu tersebut ialah bekas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia, Datuk Ramli Din dan anak bongsu kepada tokoh perniagaan Datuk Ishak Ismail iaitu Mohamad Tirmizi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NexG berkata pelantikan kedua-dua individu itu dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kepelbagaian kepakaran dalam lembaga pengarah NexG, khususnya dalam aspek tadbir urus, keselamatan serta rangkaian perniagaan.
Ramli Din membawa pengalaman luas dalam pasukan keselamatan negara, yang dijangka dapat menyumbang kepada pengukuhan aspek pematuhan dan pengurusan risiko syarikat.
Sementara itu, penyertaan Tirmizi pula dilihat mampu memperluas jaringan korporat NexG serta menyokong usaha pengembangan perniagaan syarikat dalam sektor berkaitan.
NexG dalam kenyataan sama memaklumkan perubahan dalam komposisi lembaga pengarah adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan keupayaan kepimpinan dan nilai kepada pemegang saham.
Langkah itu juga sejajar dengan komitmen syarikat untuk memastikan struktur tadbir urus yang mantap dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
Terdahulu, pada 1 April 2026, dua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif yang baru dilantik pada 13 Mac 2026 meletakkan jawatan iaitu Datuk Seri Muthanna Abdullah dan seorang lagi anak Ishak, Mohamed Najib.
Kedua-dua mereka memberi alasan berundur dari jawatan tersebut untuk memberi tumpuan kepada kepentingan lain.
NexG yang merupakan pembekal tunggal pasport Malaysia serta produk berkaitan MyKad. - DagangNews.com








