Bekas Ketua Pengarah APAD, Azlan Shah Al Bakri dilantik sebagai CEO Kumpulan KTMB mulai 12 Jan 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Ketua Pengarah APAD, Azlan Shah Al Bakri dilantik sebagai CEO Kumpulan KTMB mulai 12 Jan 2026

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Jan – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan pelantikan Datuk Azlan Shah Al Bakri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB yang baharu, berkuat kuasa 12 Januari 2026.

 

Pelantikan itu menurut KTMB, mencerminkan keyakinan Lembaga Pengarah terhadap kewibawaan dan kepakaran beliau, khususnya dalam ekosistem pengangkutan awam serta tadbir urus organisasi, selari dengan komitmen KTMB memperkukuh penyampaian perkhidmatan rel negara secara progresif dan berpaksikan pengguna.

 

Pengerusi KTMB, Dato’ Ahmad Redza Abdullah, berkata Datuk Azlan dipilih berdasarkan rekod kepimpinan yang kukuh serta pengalaman mendalam dalam sektor pengangkutan awam.

 

“KTMB yakin beliau mampu memacu syarikat ke tahap lebih tinggi melalui pendekatan berteraskan tadbir urus yang baik, kecekapan operasi dan penambahbaikan pengalaman pelanggan,” katanya.

 

Azlan sebelum ini berkhidmat selama tujuh tahun sebagai Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Kementerian Pengangkutan, dengan pengalaman luas khususnya dalam sektor rel meliputi aspek kawal selia, perancangan perkhidmatan dan penyelarasan inisiatif pengangkutan awam di peringkat nasional.

 

Pengalaman tersebut diyakini dapat memperkukuh hala tuju strategik KTMB sebagai pengendali rel negara.

 

Beliau juga mempunyai latar belakang dalam sektor korporat dan institusi kewangan, khususnya dalam bidang operasi, pengurusan risiko serta kawalan dalaman.

 

Datuk Azlan merupakan graduan perakaunan dari University of Portsmouth, United Kingdom, dan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Mengulas pelantikan itu, Azlan berkata beliau menerima amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab dan komitmen untuk memperkukuh keupayaan KTMB melalui penambahbaikan berterusan yang menekankan aspek keselamatan, kebolehpercayaan perkhidmatan dan kecekapan operasi demi manfaat pengguna.

 

KTMB yakin pelantikan ini akan memperkukuh hala tuju strategik organisasi dalam melaksanakan pembaharuan operasi, meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh kerjasama strategik bersama pemegang taruh bagi menyokong pembangunan mobiliti negara.

 

Terdahulu, KTMB diterajui Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin yang meletakkan asas kukuh dalam penstrukturan organisasi, pengukuhan tadbir urus dan pemerkasaan perkhidmatan rel negara. - DagangNews.com