Bekas CEO TH Plantations bawa kes pemecatan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas CEO TH Plantations bawa kes pemecatan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 17 Sept - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations Bhd, Mohamed Zainurin Mohamed Zain, hari ini memfailkan aduan pemecatan tidak adil di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Tindakan itu diambil selepas segala proses dalaman untuk mencabar tindakan penamatannya tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguamnya, Peguambela & Peguamcara Marwan Abdullah, Zainurin memfailkan aduan itu di bawah Seksyen 20(1), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 bagi menuntut pelantikan semula beliau sebagai CEO TH Plantations.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Menurut Marwan, pihak JPP telah menetapkan satu sesi rundingan damai antara anak guamnya dan pihak TH Plantations pada 30 Oktober 2025 di hadapan Tuan Ibrahim Ishak.

 

"Sehubungan itu, kami menyeru agar TH Plantations memberikan kerjasama sepenuhnya dalam sesi rundingan tersebut demi kepentingan para pemegang saham TH Plantations, khususnya Lembaga Tabung Haji yang mewakili hampir sembilan juta pendeposit di seluruh negara," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas CEO TH Plantations Mohamed Zainurin cabar penamatan tidak sah, nafi salah laku

 

ARTIKEL BERKAITAN: Skandal RM5.1 juta goncang TH Plantations, CEO dipecat serta-merta

 

Menurut Marwan, anak guamnya berasa kecewa dan kesal terhadap sikap membisu TH Plantations yang masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap surat rayuan beliau berhubung penamatan jawatannya sebagai CEO pada 26 Ogos lalu yang telah dikemukakan pada tarikh yang sama.

 

Katanya, kekecewaan itu lebih dirasai memandangkan komitmen yang telah dinyatakan oleh Pengerusi TH Plantations, Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din menerusi emel bertarikh 29 Ogos 2025.

 

"Sebagai sebuah anak syarikat kepada Lembaga Tabung Haji — sebuah institusi Islam yang berteraskan misi memperkasa ekonomi Ummah — anak guam kami telah mengarahkan kami untuk menegaskan bahawa cara penamatan jawatan beliau bukan sahaja dilakukan “tanpa sebab dan alasan yang munasabah” seperti dijamin oleh undang-undang, malah bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang sepatutnya dipegang teguh oleh pihak TH Plantations ," katanya.

 

TH Plantations cabang perladangan Lembaga Tabung Haji, menamatkan kontrak Zainurin pada 26 Ogos lalu, atas alasan salah laku.

 

Langkah itu susulan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan pada Julai lalu kepada Zainurin serta Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Marliyana Omar, berhubung dakwaan pembayaran tidak sah berjumlah RM5.1 juta kepada pekerja ladang.

 

 

 

 

 

 

Zainurin bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa penamatan tersebut dilakukan “tanpa sebab dan alasan yang adil.”

 

Zainurin kemudiannya mengemukakan rayuan, bagaimanapun sehingga kini rayuannya tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada TH Plantations. - DagangNews.com