Bekas CEO Global Kenaf Trading dan anak didakwa tawarkan skim pelaburan tidak berdaftar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas CEO Global Kenaf Trading dan anak didakwa tawarkan skim pelaburan tidak berdaftar

KUALA LUMPUR 3 Mac (Bernama) - Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Kenaf Trading Global Sdn Bhd Jazman Shahar Abdollah dan anaknya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menawarkan skim pelaburan kenaf tidak berdaftar antara 2021 dan 2023.

 

Jazman Shahar, 53, dan anaknya, Irfan Hadi, 28, bekas pengarah syarikat sama, mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dan Kenaf Trading Global dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

 

Kedua-dua tertuduh masing-masing didakwa atas dua pertuduhan mempelawa individu menyertai skim Kumpulan Wang Pembangunan Kenaf, yang tidak didaftarkan di bawah Akta Skim Faedah 2016, di sebuah unit di Plaza Sentral, Jalan Stesen Sentral 5, antara September 2021 dan Ogos 2023.

 

Pertuduhan di bawah Seksyen 3(2)(a) Akta Skim Faedah 2016, boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) undang-undang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga RM50 juta, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Selain itu, Jazman Shahar menghadapi dua pertuduhan terlibat secara langsung dalam pengurusan Kenaf Trading Global semasa diisytiharkan muflis, dalam tempoh yang sama dan di lokasi yang sama.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 198(1)(a) Akta Syarikat 2016, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 198 (7) undang-undang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda sehingga RM1 juta, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Sementara itu, Kenaf Trading Global yang diwakili Irfan Hadi turut didakwa atas dua pertuduhan mempelawa individu menyertai skim sama di lokasi sama dan dalam tempoh sama, mengikut Seksyen 3(2)(a) Akta Skim Faedah 2016.

 

Pegawai pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia Nurul 'Ain Shafie mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan memerlukan mereka melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan, dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah sehingga kes selesai.

 

Peguam Zahidah Md Zaman yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar ikat jamin ditetapkan RM10,000, atas alasan Jazman Shahar yang kini bekerja sebagai akauntan bebas berpendapatan kira-kira RM4,000 sebulan, turut menjaga isterinya yang mengalami masalah kesihatan mental, manakala anaknya pula menganggur.

 

Mahkamah membenarkan Jazman Shahar diikat jamin RM40,000, manakala anaknya dibenarkan diikat jamin RM20,000, dengan syarat tambahan seperti diminta pihak pendakwaan, dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan. - Bernama