KUALA LUMPUR 16 Mac – Bekalan gas negara ketika ini berada pada tahap stabil dan mencukupi bagi menyokong operasi loji janakuasa sekali gus memastikan sistem bekalan elektrik negara kekal selamat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sistem penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia menggunakan sekitar 40% hingga 45% gas asli sebagai bahan api utama.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sebahagian besar bekalan gas diperoleh daripada sumber domestik di Kerteh selain daripada Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia–Thailand (Thailand-Malaysia Joint Development Area).
Menurutnya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) sedang memantau rapat perkembangan terkini krisis geopolitik di Asia Barat, khususnya selepas Iran menutup Selat Hormuz pada 2 Mac 2026 yang menjejaskan pasaran tenaga global.
“Bagaimanapun, perkembangan ini tidak menjejaskan ketersediaan dan keselamatan bekalan elektrik negara pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Fadillah berkata kerajaan kekal komited melindungi kebajikan pengguna daripada kesan kenaikan kos bahan api global melalui rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bagi Tempoh Kawal Selia Keempat dari 2025 hingga 2027.
Beliau berkata sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) secara bulanan berdasarkan pergerakan sebenar kos bahan api di pasaran.
Tambahnya, pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api.
“Ini bermakna kira-kira 85% pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan oleh turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa,” katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa, kadar AFA dijangka kekal dalam bentuk rebat sehingga April 2026, namun ia berkemungkinan berubah sekiranya kos bahan api global terus meningkat susulan ketegangan berpanjangan di Asia Barat.
Sejak Julai 2025, kerajaan telah menyalurkan sokongan subsidi berjumlah RM2.50 bilion kepada pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif kecekapan tenaga, katanya.
Fadillah turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengkaji langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berterusan dan memberi tekanan berlebihan terhadap kos bahan api global. - DagangNews.com








