KUALA LUMPUR 14 Julai - Bina Darulaman Bhd (BDB) menandatangani Perjanjian Usaha Sama dan Pemegang Saham (JVSA) dengan Energise Sdn Bhd bagi bekerjasama dalam projek hidrogen hijau dan kecekapan tenaga di Kedah dan kawasan lain.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, BDB menyatakan usahasama itu adalah untuk mengendalikan dan menguruskan perniagaan tenaga hijau.
Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran pelet biojisim organik, penghasilan dan penjualan produk bioenergi serta penanaman hasil pertanian bagi membekalkan bahan mentah yang diperlukan untuk biojisim organik.
Di bawah JVSA yang dimeterai pada 25 Jun 2025, kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) iaitu BDB Energise Sdn Bhd, di mana BDB akan memegang 55% kepentingan dan Energise akan memegang baki 45%.
Usaha sama ini akan juga dilihat dapat membolehkan BDB menembusi pasaran baru yang lebih luas terutamanya dalam sektor hidrogen hijau dan biotenaga.
Di samping itu juga ia turut menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan BDB dan mengukuhkan kedudukan kewangan untuk bergerak ke hadapan.
BDB berkata kerjasama ini selari dengan aspirasi kelestariannya dan matlamat tenaga bersih kerajaan negeri Kedah. - DagangNews.com








