KUALA LUMPUR 6 Sept - BDB Energy Sdn Bhd, anak syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB), menjalin kerjasama strategik dengan Kester Sdn Bhd bagi mempercepatkan pembangunan RE di Kedah.
Kerjasama tersebut yang dimeterai menerusi MoU di Pulau Pinang pada Khamis lalu, memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif Solar Berbumbung di bawah Program CREAM serta pembangunan ladang solar berskala besar di seluruh negeri Kedah.
Pengarah BDB Energy, Mohd Hudzaifah Mohd Sam berkata, kerjasama tersebut bakal membuka peluang baharu dalam memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan jejak karbon negeri.
“Kerjasama ini bersama Kester, anak syarikat milik penuh Invest Kedah Berhad, mengukuhkan lagi komitmen kami dalam mempromosikan penyelesaian tenaga bersih, sekali gus menyokong agenda pembangunan hijau negeri,” katanya.
Kester telah menerima mandat daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah untuk bertindak sebagai pusat setempat bagi pelaburan tenaga boleh diperbaharui, memberikan kelebihan strategik dalam meneroka sektor tenaga bersih lain termasuk hidrokarbon dan unsur nadir bumi.
“Usaha ini juga selari dengan pelan pembangunan The Greater Kedah yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi hijau, kelestarian alam sekitar dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui,” tambahnya.
Majlis menandatangani MoU tersebut turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi & Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah; Pengarah Kester Sdn Bhd, Noor Ikhsan Abd Aziz; dan Ketua Pegawai Kewangan BDB, Mohd Nasir Ismail.
Projek-projek tenaga boleh diperbaharui berkenaan dijangka memperkukuh ekosistem tenaga hijau di Kedah sekali gus menyumbang kepada agenda kelestarian negeri dan negara.
“Projek ini bukan sahaja menyokong hala tuju negeri, malah selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menetapkan sasaran tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050,” ujar Mohd Hudzaifah.
“BDB melalui BDB Energy komited untuk mempercepat pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui di Kedah, menyokong aspirasi Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” katanya.
Bina Darulaman Berhad (BDB) ditubuhkan pada 7 Februari 1995 dan disenaraikan di Bursa Malaysia. BDB ialah syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam pembangunan hartanah, pembinaan, kerja jalan, kuari, rekreasi serta tenaga boleh diperbaharui melalui anak-anak syarikatnya termasuk BDB Land Sdn Bhd, Kedah Holdings Sdn Bhd, BDB Synergy Sdn Bhd, BDB Infra Sdn Bhd, BDB Leisure Sdn Bhd dan BDB Energy Sdn Bhd. - DagangNews.com








