Bayaran fi lesen biodiesel tidak akan dinaikkan demi kelangsungan penggiat industri - Noraini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bayaran fi lesen biodiesel tidak akan dinaikkan demi kelangsungan penggiat industri - Noraini

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) tidak akan menaikkan struktur fi lesen biobahan api bagi aktiviti yang dilesenkan di bawah Peraturan-Peraturan Industri Biobahan Api Malaysia (Pelesenan) 2008.

 

Langkah itu bertujuan bagi menyokong kelangsungan operasi perniagaan serta memperkukuh daya saing industri biodiesel negara.

 

Keputusan tersebut diumumkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika menghadiri pertemuan dengan wakil Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) baru-baru ini.

 

Menurut beliau, kadar fi lesen ini tidak dinaikkan setelah Kementerian meneliti cadangan balas dan maklum balas terperinci daripada pihak industri.

 

“Kerajaan sentiasa mengambil maklum dan amat memahami keluhan yang disuarakan oleh pihak industri, terutamanya berhubung cabaran kos operasi semasa serta pelbagai caj pelesenan sedia ada.

 

“Kementerian juga menghargai kerjasama serta maklum balas berterusan daripada penggiat industri,” katanya.

 

Keputusan untuk mengekalkan fi lesen ini jelas mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam memastikan operasi industri tidak terbeban dengan kos tambahan. 

 

Ia juga merupakan langkah strategik untuk memperkasakan daya saing pengeluar biodiesel tempatan di pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Dengan keputusan ini, KPK berharap penggiat industri dapat terus menumpukan perhatian kepada peningkatan produktiviti dan inovasi dalam sektor biodiesel. 

 

Ia juga bukti sokongan berterusan kerajaan terhadap industri yang sangat penting bagi memastikan pertumbuhan mampan dan pembangunan ekonomi hijau negara. - DagangNews.com