Bayaran Fasa 4 STR diawalkan bermula 18 Oktober 2025 sempena Deepavali melibatkan 8.8 juta penerima | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bayaran Fasa 4 STR diawalkan bermula 18 Oktober 2025 sempena Deepavali melibatkan 8.8 juta penerima

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt – Seramai 8.8 juta penerima akan menerima bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 bermula 18 Oktober 2025, lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan November bersempena sambutan perayaan Deepavali.

 

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan fasa kali ini dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut turut merangkumi 200,000 pemohon baharu yang diluluskan untuk bayaran Fasa 4 STR dan penyaluran bagi kumpulan ini akan dibuat mulai 13 November 2025.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah penerima bagi fasa ini meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah berbanding Fasa 1 pada Januari 2025, yang merekodkan 8.3 juta penerima. 

 

“Peningkatan itu susulan keputusan Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan STR sepanjang tahun.

 

“Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia. 

 

“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kerajaan MADANI turut mengumumkan  pendaftaran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 akan dibuka sepanjang tahun bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang menerima manfaat bantuan. 

 

Seperti diumumkan semasa pembentangan Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober lalu, jumlah peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 mencecah RM15 bilion.

 

“Bagi penerima sedia ada, data mereka akan dipindahkan secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan dan disemak bersama data agensi berkaitan untuk kelayakan STR dan SARA 2026. 

 

“Langkah ini bagi mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar,” katanya.

 

Pemohon STR boleh merujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut termasuk semakan status pembayaran dan kelulusan.

 

Kementerian Kewangan Malaysia turut mengingatkan penerima supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

 

MOF menegaskan pihaknya tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.

 

Pembayaran Fasa 4 STR akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kaedah berikut:

• Penerima sedia ada yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran secara kredit terus ke akaun bermula 18 hingga 24 Oktober 2025.

• Penerima baharu dan rayuan akan menerima bayaran pada 13 November 2025.

• Penerima tanpa akaun bank termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan menerima bayaran tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional mulai 21 Oktober 2025.

 

Bayaran mengikut kategori kelayakan adalah seperti berikut:

• Isi rumah berpendapatan ≤ RM2,500: seramai 3.1 juta penerima dengan kadar RM200 hingga RM700 (implikasi kewangan RM1.1 bilion).

• Isi rumah berpendapatan RM2,501 – RM5,000: seramai 1 juta penerima dengan kadar RM100 hingga RM350 (implikasi kewangan RM0.2 bilion).

• Warga emas tiada pasangan: 1.3 juta penerima dengan kadar RM150 (implikasi kewangan RM0.2 bilion).

• Bujang: seramai 3.4 juta penerima dengan kadar RM150 (implikasi kewangan RM0.5 bilion). - DagangNews.com