Bayaran balik GST hampir selesai, tuntutan tertunggak RM19 bilion telah dibayar – Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bayaran balik GST hampir selesai, tuntutan tertunggak RM19 bilion telah dibayar – Amir Hamzah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb – Kerajaan mengesahkan bahawa hampir keseluruhan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah diselesaikan, sekali gus menepis dakwaan berhubung tunggakan pembayaran yang masih membebankan syarikat.

 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata apabila GST dimansuhkan pada 2018, jumlah tuntutan bayaran balik yang tertunggak mencecah RM19 bilion.

 

“Namun kesemua tuntutan tersebut telah dibayar sepenuhnya kecuali kira-kira RM30 juta yang masih belum dapat diselesaikan.

 

“Baki tuntutan tersebut melibatkan kes-kes tertentu seperti tuntutan yang masih dalam proses perbicaraan mahkamah atau maklumat bayaran balik yang tidak lengkap termasuk butiran akaun bank syarikat,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

 

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, dengan landasan ekonomi yang semakin kukuh, Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta memperluas peluang kepada rakyat, khususnya melalui akses pembiayaan perniagaan dan pemilikan rumah.

 

Beliau menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi yang mampan perlu disokong oleh ekosistem pembiayaan yang inklusif agar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dapat berkembang, di samping membantu keluarga muda memiliki rumah pertama.

 

Sehubungan itu, Kerajaan telah meningkatkan kemudahan pembiayaan dan jaminan kepada RM50 bilion pada 2026 berbanding RM40 bilion pada 2024. 

 

“Ini termasuk Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang ditingkatkan kepada RM30 bilion bagi memberi manfaat kepada lebih 30,000 PMKS, selain jaminan khusus sebanyak RM10 bilion untuk PMKS Bumiputera.

 

“Selain itu, Bank Negara Malaysia akan menambah dana pinjaman PMKS sebanyak RM2.5 bilion dan memperkenalkan skim jaminan pembiayaan PMKS sehingga RM10 bilion melalui kerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi memperluas akses pembiayaan kepada usahawan tempatan,” katanya.

 

Amir Hamzah turut menjelaskan bahawa Kerajaan menetapkan syarat supaya kemudahan pembiayaan baharu tidak hanya tertumpu kepada kumpulan yang sama, sebaliknya memberi manfaat kepada syarikat dan pelanggan yang belum pernah menerima kemudahan pembiayaan agar peluang ekonomi dapat diagihkan secara lebih adil.

 

Dalam aspek pemilikan rumah, beliau berkata antara Januari hingga September 2025, institusi perbankan telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM69.9 bilion bagi pembelian rumah pertama, melibatkan lebih 155,000 peminjam. 

 

“Kadar kelulusan pinjaman perumahan baharu bagi rumah bernilai RM300,000 ke bawah pula kekal tinggi pada 76%.

 

“Bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki rumah pertama, Kerajaan bersama Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan terus memperkasa Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana termasuk individu tanpa pendapatan tetap,” katanya.

 

Di bawah Belanjawan 2026, jaminan SJKP sehingga RM20 bilion disediakan bagi memberi manfaat kepada lebih 80,000 pembeli rumah kali pertama, selain pembiayaan rumah pertama sehingga RM1 bilion untuk kakitangan kontrak Kerajaan serta golongan muda berusia 21 hingga 35 tahun yang layak memohon skim Step-Up Financing. - DagangNews.com