KUALA LUMPUR 28 Jan – Batik Air Malaysia merancang menambah 10 pesawat lagi tahun ini, sekali gus meningkatkan saiz armadanya kepada 63 pesawat, selaras dengan usaha mempercepat pengembangan rangkaian, menambah daya tahan operasi serta mengukuhkan kesalinghubungan dari Lapangan Terbang Subang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, penambahan pesawat yang terdiri daripada Boeing 737 dan Airbus A330 itu akan menyokong peningkatan kekerapan penerbangan, kapasiti pesawat sokongan serta penambahbaikan perkhidmatan di rangkaian serantau dan antarabangsa syarikat penerbangan itu.
“Dengan lebih banyak pesawat, kami akan mempunyai lebih banyak pesawat sokongan yang membolehkan kami mengurus gangguan seperti keadaan cuaca buruk dengan lebih baik serta mengurangkan kesan kelewatan berantai,” katanya katanya pada majlis pelancaran kempen 'Tambang Tetap untuk Pulang Beraya' Batik Air yang dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud.
Menurut Chandran, Batik Air Malaysia kini mengendalikan 53 pesawat yang berkhidmat ke 65 destinasi di 20 negara dan pengembangan armada itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kekerapan serta perkhidmatan sepanjang tahun ini.
Dalam ucapannya sebelum itu, beliau berkata, syarikat menyasarkan kadar ketepatan masa (OTP) 85% menjelang pertengahan tahun, sejajar dengan usaha berterusan meningkatkan kebolehpercayaan operasi dalam persekitaran permintaan perjalanan yang meningkat serta gangguan bermusim.
Beliau menambah, prestasi OTP Batik Air telah menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan lalu, dengan mencatat prestasi konsisten melebihi 70%.
“Peningkatan ini mencerminkan pelarasan operasi yang sedang dilaksanakan, termasuk perancangan kapasiti dan ketersediaan pesawat yang lebih baik, walaupun faktor luaran seperti cuaca dan kekangan lapangan terbang kekal di luar kawalan langsung syarikat penerbangan,” katanya.
Chandran berkata, tumpuan terhadap ketepatan masa adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengurangkan keletihan perjalanan serta menyediakan pilihan perjalanan yang lebih selamat dan boleh dipercayai berbanding perjalanan darat jarak jauh, khususnya ketika musim perayaan yang sering berdepan kesesakan.
Sementara itu, beliau berkata, kempen tambang tetap itu menawarkan kadar tambang yang telah ditetapkan lebih awal bagi membantu penumpang merancang perjalanan Tahun Baharu Cina dengan lebih yakin.
Menurutnya, penumpang boleh menikmati tambang sehala tetap dari Kuala Lumpur/Subang ke Kuching bermula RM318 dan ke Kota Kinabalu bermula RM378.
“Tempoh tempahan dibuka sekarang hingga 13 Feb 2026, dengan tempoh perjalanan dari 13 hingga 16 Feb 2026,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Batik Air menambah penerbangan tambahan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang (12 hingga 14 Feb 2026) dan Sibu (13 hingga 15 Feb 2026), dengan tambang sehala bermula RM388 ke Pulau Pinang dan RM588 ke Sibu, bagi memberi fleksibiliti tambahan kepada penumpang sepanjang musim perayaan. - BERNAMA








