KUALA LUMPUR 28 Okt – Batik Air menjalin kerjasama dengan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) bagi menawarkan kemudahan perjalanan yang lebih lancar dan eksklusif kepada penumpang kelas perniagaan.
Ini menjadikan Batik Air sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang bekerjasama dengan pengendali tren KLIA Ekspres bagi menawarkan tambang istimewa khas untuk keselesaan penumpang.
Melalui kerjasama tersebut, penumpang KLIA Ekspres boleh menikmati diskaun sehingga 25% apabila membeli tiket Batik Air Business Class Flexi, yang menawarkan nilai lebih tinggi serta sambungan perjalanan yang mudah antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
KLIA Ekspres, tren lapangan terbang terpantas di Malaysia, menghubungkan KL Sentral ke KLIA hanya dalam tempoh 28 minit, membolehkan penumpang perniagaan memanfaatkan masa perjalanan mereka dengan lebih produktif.
Batik Air berkata, penumpang kelas perniagaan turut menikmati kelebihan seperti daftar masuk keutamaan, elaun bagasi lebih besar, pilihan menukar tempahan yang fleksibel serta akses ke ruang istirahat eksklusif.
“Bagi menambah kemudahan, penumpang Batik Air juga boleh mendaftar masuk terus di KL Sentral melalui perkhidmatan daftar masuk dalam bandar (in-town check-in).
“Ini membolehkan mereka menyerahkan bagasi dan menerima pas masuk penerbangan sebelum menaiki tren KLIA Ekspres ke lapangan terbang,” kata Batik Air dalam satu kenyataan.

Langkah ini menjadikan perjalanan dari bandar ke lapangan terbang lebih lancar, selesa dan efisien, selaras dengan usaha meningkatkan pengalaman keseluruhan penumpang.
Inisiatif itu juga bertujuan menyemarakkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menawarkan pilihan perjalanan yang lancar dan selesa kepada pelancong.
Kerjasama antara Batik Air dan ERL ini menyokong keperluan pengembara perniagaan serta pelancong, menyediakan perjalanan yang menjimatkan masa dan meningkatkan keselesaan.
Gabungan perkhidmatan itu membolehkan penumpang menikmati kemudahan, kebolehpercayaan dan perkhidmatan premium secara konsisten sepanjang perjalanan mereka.
Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen Batik Air untuk menyediakan pengalaman perjalanan menyeluruh dari bandar hingga ke destinasi akhir, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam standard perjalanan perniagaan di Malaysia. - DagangNews.com








