KUALA LUMPUR 5 Jan - Bantuan RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan dikreditkan bermula 9 Februari ini, manakala Bantuan Awal Persekolahan RM150 akan diedarkan bermula 13 Januari ini di sekolah masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, bantuan SARA diberikan kepada semua warganegara dewasa berumur 18 tahun, manakala bantuan awal persekolahan diberikan kepada semua pelajar sehingga Tingkatan Enam.
“Ini (Bantuan SARA) adalah bagi persiapan Ramadan dan Tahun Baharu Cina tahun ini.
“(Bantuan Awal Persekolahan) pastikan wang itu dibelanjakan untuk anak-anak anda,” kata Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara tersebut pada majlis Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sementara itu, penerima bulanan SARA akan menerima RM200 dalam Kad Pengenalan mereka mulai 9 Januari.
Bagi pembayaran fasa pertama Sumbangan Tunai Rahmah (STR), RM500 akan dikreditkan ke akaun rakyat Malaysia yang layak.
“Tahun lepas, 69% rakyat Malaysia menggunakan STR, dan jumlahnya hampir RM2.1 bilion,” katanya.
Bagi Bantuan Awal Persekolahan pula bantuan ini menelan kos kerajaan kira-kira RM800 juta dalam peruntukan.
Semasa membentangkan Belanjawan 2026 pada Oktober tahun lepas, Anwar berkata bantuan awal persekolahan ini akan memberi manfaat kepada 5.2 juta pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah kerajaan.
Sementara itu Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, Program SARA bulanan akan disalurkan seawal 9 Januari 2026 dan memperkenalkan beberapa penambahbaikan baharu bagi meningkatkan manfaat golongan penerima.

Pada tahun ini, sasaran kedai kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 pada akhir tahun 2025, melengkapi cawangan pasar raya sedia ada.
Penyaluran SARA Bulanan 2026 akan bermula pada 9 Januari 2026 untuk 5 juta penerima yang terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Januari 2026.
Penerima SARA bulanan akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 mengikut kategori kelulusan.
"Secara keseluruhan, SARA Bulanan melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion untuk tahun 2026, berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion pada tahun 2025.
"SARA Bulanan untuk tahun 2025 telah menunjukkan prestasi perbelanjaan hampir 100% oleh penerima, termasuk di kawasan luar bandar," kata kenyataan itu.
Sementara itu bantuan SARA untuk semua sebanyak RM100 secara one-off akan disalurkan pada 9 Februari 2026 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas bagi manfaat rakyat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
Inisiatif ini mula diperkenalkan pada 31 Ogos 2025 sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan.
Seramai 22 juta warganegara Malaysia, iaitu semua rakyat berumur 18 tahun dan ke atas, berkelayakan menerima kredit one-off tersebut.
SARA untuk semua 2025 telah mencatatkan penggunaan oleh 21.2 juta rakyat, iaitu 96% penerima, dengan perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.
Seperti yang dijanjikan, baki SARA untuk Semua yang tidak dibelanjakan sekitar RM150 juta akan disalurkan semula bagi menjamin maslahat golongan rentan.
Antara inisiatif yang dikenal pasti termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, bantuan untuk pelajar OKU dan keperluan khas, pembelian peranti perubatan untuk golongan rentan serta inisiatif Dapur SISWA untuk membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat akses makanan.
SARA untuk semua ialah bantuan one-off yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, tanpa mengira pendapatan.
Bantuan ini berbeza daripada SARA Bulanan, iaitu bantuan barangan asas yang disalurkan setiap bulan mulai 9 Januari 2026 kepada penerima STR dan golongan memerlukan. - DagangNews.com








