KUALA LUMPUR 14 Mei - Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 4.4% pada 2026 disokong permintaan domestik yang terus menjadi pemacu utama aktiviti ekonomi negara.
Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei, Zafer Mustafaoglu berkata, bagaimanapun prospek jangka pendek kekal berdepan ketidaktentuan yang ketara dengan risiko lebih cenderung kepada penurunan.
“Konflik geopolitik dan ketegangan perdagangan, pertumbuhan global yang lebih perlahan, ketidaktentuan pasaran kewangan serta ketidaktentuan dasar di ekonomi utama boleh menjejaskan perdagangan dan keyakinan,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena pelancaran Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia April 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, sebagai ekonomi terbuka, Malaysia kekal terdedah kepada risiko luaran terutama menerusi saluran perdagangan dan kewangan.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada separuh kedua 2025 mengatasi jangkaan walaupun persekitaran global kekal mencabar.
“Ini mendorong pertumbuhan tahunan penuh kepada kadar kukuh 5.2 peratus, dipacu oleh permintaan domestik dan prestasi eksport yang mantap. Pencapaian luar biasa ini mencerminkan kekuatan asas dan daya tahan ekonomi negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Malaysia sedang berdepan cabaran penting apabila pertumbuhan produktiviti masih sederhana walaupun pasaran pekerjaan kekal kukuh.
“Hasilnya ialah masalah guna tenaga tidak penuh apabila ramai graduan bekerja dalam jawatan yang tidak memanfaatkan sepenuhnya kemahiran mereka.
“Ini bukan sekadar isu pasaran buruh tetapi juga isu dinamisme perniagaan kerana modal insan tidak digunakan secara optimum,” katanya.
Beliau berkata, apabila persekitaran perniagaan terjejas akibat persaingan pasaran yang tidak mencukupi, peraturan yang kurang kompetitif, proses kelulusan yang rumit, akses pembiayaan yang tidak sekata serta proses insolvensi yang perlahan, inovasi perniagaan akan terbatas sekali gus melemahkan pertumbuhan produktiviti dan gaji.
Menurutnya lagi, cabaran pekerjaan di Malaysia pada asasnya adalah cabaran produktiviti dan tanpa peningkatan produktiviti, gaji tidak dapat meningkat secara mampan.
“Menangani cabaran ini memerlukan peralihan daripada kuantiti pekerjaan kepada kualiti pekerjaan.
“Laporan ini menekankan tiga keutamaan utama iaitu mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih dinamik, merangsang inovasi serta menyalurkan pembiayaan kepada produktiviti selain melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang sesuai dan membina modal insan yang bersedia untuk masa depan,” katanya. - BERNAMA








