Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 2026 kepada 4.4% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 2026 kepada 4.4%

KUALA LUMPUR 9 April - Bank Dunia telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2026 kepada 4.4 peratus daripada 4.1 peratus, dengan mengambil kira permintaan domestik yang berdaya tahan, kata Ketua Ahli Ekonominya bagi Malaysia, Apurva Sanghi.

 

Beliau berkata pertumbuhan akan dipacu terutamanya oleh penggunaan swasta, yang disokong oleh keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, kenaikan gaji serta langkah sokongan pendapatan oleh kerajaan.

 

“Kami menjangkakan permintaan domestik akan kukuh tahun ini disebabkan dinamika pasaran buruh yang positif, dengan gaji median sebenar meningkat sebanyak enam peratus tahun lalu, serta sokongan berterusan kerajaan apabila diperlukan.

 

“Jadi penggunaan swasta pastinya merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan,” katanya kepada pemberita pada taklimat Bahagian 1 Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia bagi April 2026 (MEM), bertajuk ‘Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai, Memajukan Agenda Pekerjaan dan Produktiviti Malaysia’, hari ini.

 

Pada tahun lalu, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus hasil permintaan domestik yang kukuh dan eksport yang menggalakkan.

 

Apurva berkata unjuran bagi tahun ini adalah melebihi pertumbuhan serantau sebanyak 4.2 peratus, dengan prospek turut dipengaruhi oleh tiga faktor luaran, iaitu konflik Asia Barat, tarif Amerika Syarikat (AS) dan pengalihan hala tuju China.

 

Mengenai konflik Asia Barat, beliau berkata krisis yang berterusan dijangka meningkatkan ketidaktentuan ekonomi global, dengan kesannya masih sukar diramalkan berikutan keadaan yang berubah dengan pantas.

 

“Harga minyak mentah telah berubah-ubah, meningkat hampir 40 peratus antara Februari dan Mac. Harga baja berasaskan nitrogen hampir dua kali ganda dalam tempoh yang sama. Harga penghantaran LNG ke Asia meningkat hampir dua pertiga.

 

“Walaupun konflik itu berakhir esok, ia masih memerlukan masa untuk tenaga, makanan dan rantaian bekalan pulih atau kembali rancak. Jadi, risiko penurunan terhadap unjuran 4.4 peratus pada 2026 adalah besar, dan ini merupakan situasi yang sentiasa berkembang, jadi kita tunggu dan lihat bagaimana ia akan berlaku,” katanya.

 

Sementara itu, mengenai tarif AS, beliau berkata ketika ini kira-kira 46 peratus eksport Malaysia dikecualikan daripada tarif, sebahagian besarnya disebabkan oleh kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta jentera, namun pengecualian ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

 

Oleh itu, Apurva berkata perkara ini menimbulkan risiko yang ketara kepada Malaysia memandangkan kebergantungan tinggi terhadap sektor E&E, yang menyumbang hampir 30 peratus kepada nilai tambah domestik negara — yang tertinggi di ASEAN — sekali gus menjadikannya lebih terdedah berbanding rakan serantau terhadap perubahan dasar perdagangan AS.

 

“Kesimpulannya, Malaysia tidak boleh bergantung kepada perbezaan tarif semata-mata untuk meningkatkan daya saing. Ia perlu memupuk lebih banyak inovasi,” katanya.

 

Mengenai pengalihan hala tuju China, beliau berkata pengalihan eksport negara itu ke pasaran ketiga muncul sebagai satu lagi faktor yang membentuk landskap ekonomi serantau, didorong oleh permintaan domestik yang lemah serta kapasiti perindustrian yang berkembang sehingga menyebabkan lebihan pembuatan yang semakin meningkat.

 

“Satu tinjauan menunjukkan bahawa 75 peratus pengeksport China berhasrat untuk mengimbangi penurunan eksport ke AS dengan berkembang ke pasaran ketiga seperti Malaysia,” katanya, sambil menambah Malaysia mencatat peningkatan keempat terbesar dalam import dari China dalam kalangan negara ASEAN.

 

Namun, berbanding rakan serantau, pendedahan Malaysia dilihat lebih sederhana, dengan negara seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia menghadapi kesan yang lebih besar daripada pengalihan eksport China.

 

Beliau menekankan bahawa import Malaysia dari China merangkumi bukan sahaja barangan penggunaan, tetapi juga barangan perantaraan dan modal yang menyokong pengeluaran domestik.

 

Oleh itu, katanya struktur yang seimbang ini adalah agak menguntungkan, kerana kemasukan yang didominasi oleh barangan penggunaan kos rendah boleh menimbulkan risiko yang lebih besar kepada pembuatan tempatan.

 

Secara keseluruhan, kebimbangan terhadap kemasukan barangan dari China perlu dinilai dengan teliti, dengan pembuat dasar digalakkan untuk mengambil langkah bersasar berbanding sekatan menyeluruh terhadap perdagangan dua hala, tambahnya. - BERNAMA