Bacalah dari pelbagai sumber berita, bandingkan, pertikaikan, fikirkan | saranan oleh Mohd Fudzail Mohd Nor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bacalah dari pelbagai sumber berita, bandingkan, pertikaikan, fikirkan | saranan oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Dalam deru arus digital dan ledakan maklumat tanpa sempadan, saya masih setia kepada tabiat lama yang sukar dibuang: membaca akhbar.

 

Sama ada dalam bentuk helaian bercetak yang berbau dakwat dan sejarah, atau paparan skrin yang senyap tetapi padat makna, membaca akhbar bagi saya bukan sekadar menelaah berita. Ia suatu ibadah minda, ziarah intelektual, dan kadangkala, pertarungan batin mencari keadilan dalam kekeliruan zaman.

 

Saya pernah bekerja sebentar di Utusan Melayu, menyaksikan sendiri nadi kewartawanan Melayu yang dahulu gah, kini rebah kerana pelbagai sebab, baik ekonomi mahupun politik. Kemudian saya menyumbang pena di Berita Harian, menghirup semangat ruang redaksi yang masih mengandungi denyut kejujuran walaupun dalam batas tertentu. 

 

Artikel reformasi saya pernah menghiasi halaman Harakah, satu media yang sering dilabel partisan, namun ada ketika lebih berani daripada yang arus perdana.


 

Fudzail

 


Kini, saya terus menulis secara maya di pelbagai penerbitan fizikal dan digital, menyulam kata dalam ruang-ruang yang masih sudi menerima suara marhaen yang tidak mahu bisu.

 

Di antara lembaran pena dan dunia media cetak itu, saya juga pernah berkhidmat hampir sepuluh tahun di TV3, sebagai pengurus teknologi maklumat dan pengarah kawasan. Pengalaman ini memberi saya sudut pandang yang lebih luas tentang bagaimana berita digarap, dikawal, dan disampaikan. 

 

Saya melihat dari dalam bagaimana keindahan teknikal tidak semestinya seiring dengan kebebasan editorial; bagaimana naratif boleh dibentuk bukan oleh fakta semata-mata, tetapi oleh tangan-tangan yang tidak kelihatan—politik, penaja, dan dasar korporat. 

 

Dari ruang server yang sejuk hingga ke bilik mesyuarat yang hangat dengan rundingan dan kadangkala tekanan, saya belajar bahawa kebenaran dalam media bukan hanya tentang apa yang dipaparkan, tetapi juga tentang apa yang sengaja ditinggalkan.

 

Namun, satu hal yang makin saya insafi ialah betapa sukar mencari akhbar yang benar-benar bebas daripada bias. Setiap akhbar membawa kaca mata sendiri—ada yang berlapis ideologi, ada yang berbalut kepentingan ekonomi, dan tidak kurang yang terbelit dengan simpulan politik dan perkauman.

 

Kita membaca berita bukan hanya melalui mata, tetapi melalui sistem nilai yang dibentuk oleh budaya, sejarah, dan kadangkala dendam kolektif yang diwarisi.

 

Dalam perjalanan saya menelaah pelbagai media antarabangsa, dari The Guardian hingga Al Jazeera, dari New York Times ke Le Monde, satu nama yang tidak pernah saya abaikan ialah Haaretz—sebuah akhbar dari Israel yang, pada pandangan saya, paling hampir kepada semangat kewartawanan yang luhur meskipun berada di tengah-tengah konflik dan dominasi Zionisme. 


 

Fudzail

 


Ramai teman Muslim saya menepuk dahi bila mendengar saya membaca Haaretz. “Mengapa membaca suara penjajah Zionis?” tanya mereka, kadang-kadang dengan nada sinis, kadang-kadang dengan keikhlasan yang risau.

 

Namun bagi saya, membaca musuh bukan bererti mengkhianati prinsip. Bahkan, dalam memahami naratif musuh itulah kita mengenal corak tipu daya atau, kadangkala, ruang insaf yang tidak diduga. 

 

Haaretz, walaupun akarnya berada dalam bumi penjajahan, telah beberapa kali menggegar tanah Israel sendiri dengan pendedahan berani dan analisis yang dalam. Ia tidak sempurna, tetapi cukup jujur untuk saya terus menelusuri halamannya.

 

Akhbar ini terkenal dengan mutu kewartawanan yang tinggi. Laporan penyiasatannya bukan main-main, malah pernah membongkar isu-isu yang jarang disentuh oleh media lain di Israel. 

 

Dari rasuah politikus kanan, keganasan tentera terhadap warga Palestin, hinggalah skandal melibatkan agensi perisikan seperti Mossad, Haaretz memilih untuk menulis walaupun tahu ia tidak disenangi. Malah ia pernah menerima anugerah kewartawanan seperti Sokolov Awards, lambang pengiktirafan kejujuran dalam dunia yang semakin melacurkan lidah dan pena.

 

Keberanian mereka untuk mengkritik dasar kerajaan, termasuk tindakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menjadikan akhbar ini sebagai ruang yang penting dalam demokrasi yang cacat tetapi masih bergema. 


 

HAWANA2025

 


Dalam kolum-kolum yang sinis dan tajam, dalam rencana-rencana yang panjang dan bersumber rapi, saya dapati suara-suara yang berani menyebut 'Palestin' tanpa eufemisme. Mereka menulis tentang penindasan, tentang rumah yang diroboh, tentang kanak-kanak yang dibunuh atas nama keselamatan negara. Suara itu bukan dari luar, tetapi dari dalam. Dan di situlah letaknya nilai.

 

Namun saya tidak menafikan bahawa Haaretz juga tidak terlepas daripada bias. Ia sering dilabel liberal, malah oleh sesetengah kelompok Yahudi sendiri sebagai akhbar “pengkhianat bangsa.” 

 

Ada yang melihatnya terlalu mesra Arab, terlalu banyak memberi ruang kepada aktivis hak asasi manusia, atau terlalu lembut terhadap Hamas. Tetapi di sisi yang lain, ada pula yang mengatakan Haaretz masih terikat dengan naratif Zionis dan tidak benar-benar memperjuangkan hak rakyat Palestin yang dijajah. 

 

Maka di sinilah kita, berdiri di antara dua kutub yang menuduh dan mempertikai, tetapi dalam hiruk-pikuk itu, saya mendengar gema suara wartawan yang masih mahu menulis dengan nurani.


 

Fudzail

 


Sebagai pembaca yang lama bergaul dengan tinta dan kertas, saya menyedari bahawa tiada media yang suci sepenuhnya. Tidak BBC, tidak CNN, tidak Al Jazeera sekalipun. Setiap satu beroperasi dalam bingkai geopolitik yang rumit. 

 

Oleh itu, saya menasihatkan diri saya: bacalah dari pelbagai sumber. Bandingkan. Pertikaikan. Fikirkan konteks sejarahnya. Lihat siapa pemilik syarikat media tersebut. Tanya: berita ini ditulis untuk siapa, dan kenapa?

 

Sebagai contoh, dalam membaca berita mengenai konflik Israel-Palestin, saya akan membaca laporan daripada Haaretz, kemudian meneliti respons dari Middle East Eye, Al Jazeera, dan The Guardian. Kadang-kadang saya bandingkan dengan laporan dari Yedioth Ahronoth atau Jerusalem Post yang lebih cenderung kepada pandangan kanan.

 

Kemudian saya kembali kepada sejarah: Perjanjian Balfour, Nakba 1948, Perang Enam Hari, Oslo, Intifada. Tanpa latar ini, berita hari ini menjadi seperti daun yang gugur tanpa dahan—berkisar tanpa makna.

 

Dalam hidup saya yang sudah merentas lima dekad lebih, dan pernah tinggal serta menjelajah ke 41 buah negara, saya dapati bahawa persepsi terhadap berita amat dipengaruhi oleh tempat dan masa. 

 

Di UAE, saya membaca akhbar dengan cermat kerana banyak yang ditapis dan dipersembah dengan wajah optimisme palsu. Di New Zealand, semasa saya menjadi mahasiswa dan mula berkhutbah di Masjid Hamilton, saya belajar menghargai akhbar kecil yang masih menulis berita komuniti dengan jujur.

 

Di Malaysia pula, kita masih terkial-kial mencari akhbar yang benar-benar berani, tidak terikat dengan kuasa politik atau ketakutan korporat.

 

Kini, lebih banyak duduk di rumah, membaca akhbar menjadi semacam ritual harian yang bukan sahaja mendidik, tetapi membakar semula semangat untuk terus menulis. 

 

Pena saya tidak lagi setajam dahulu, tetapi kata-kata masih mahu lahir. Dunia terlalu banyak dusta untuk saya diamkan. Dan dalam setiap berita yang saya baca, saya cuba mencari celah kebenaran, walau setipis helaian kertas yang dicetak.


 

Fudzail

 


Akhirnya, membaca bukan lagi semata-mata soal maklumat, tetapi soal integriti diri. Saya membaca Haaretz bukan kerana saya menyokong dasar negaranya, tetapi kerana saya mencari cahaya dalam kegelapan.

 

Saya membaca Harakah bukan kerana saya anggota parti politik, tetapi kerana saya percaya suara alternatif perlu hidup. 

 

Saya membaca akhbar-akhbar dunia kerana saya tahu satu lidah tidak cukup untuk menuturkan kebenaran. Ia mesti digilir, disilang, didebat dan diteliti. Dan barulah kita boleh, insya-Allah menyaring kebenaran dari kekusutan zaman. - DagangNews.com