Azam Baki saman Bloomberg tuntut ganti rugi RM100 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Azam Baki saman Bloomberg tuntut ganti rugi RM100 juta

KUALA LUMPUR 21 Feb - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, telah memfailkan saman terhadap Bloomberg L.P. berhubung artikel berunsur fitnah berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Feb lalu.

 

Saman itu, yang difailkan Azam menerusi Tetuan Zain Megat & Murad di Mahkamah Tinggi di sini semalam, menamakan Bloomberg yang beralamat di Lexington Avenue, New York serta cawangannya di Malaysia, iaitu Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, masing-masing selaku defendan pertama dan kedua.

 

Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan yang diperoleh media hari ini, Azam selaku plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.

 

 

 

 

 

 

 

 

Plaintif juga memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan-defendan serta ejen atau pekerja mereka daripada membuat, mencetak atau menerbitkan perkataan yang dirujuk dalam tuntutan ini atau seumpamanya yang memfitnah plaintif, selain memadam dan menurunkan kenyataan fitnah dalam tempoh tiga hari dari tarikh penghakiman.

 

Turut dituntut ialah permohonan maaf yang mana terma-terma tersebut hendaklah dipersetujui terlebih dahulu oleh peguam cara Azam untuk diterbitkan di akhbar dan media sosial yang dipilih oleh plaintif.

 

Artikel didakwa fitnah dan mengelirukan

Azam mendakwa pada 8 pagi, 10 Feb lalu, kedua-dua defendan telah menerbitkan dan menyebabkan penerbitan satu artikel di Bloomberg.com bertajuk Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry yang dikarang oleh Niki Koswanage dan Tom Redmond.

 

Kenyataan fitnah itu mendakwa plaintif, atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan artikel itu turut menyatakan tanpa bukti bahawa plaintif tidak mengisytiharkan asetnya secara terbuka.

 

Menurut Azam, artikel tersebut secara jelas berkaitan dengan pentadbiran awam Malaysia dan menyentuh secara langsung kedudukannya sebagai penjawat awam berprofil tinggi, selain boleh diakses melalui langganan Bloomberg Terminal yang digunakan oleh pelanggan, institusi kewangan serta pengguna komersial di negara ini.

 

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu secara jelas merujuk kepadanya sebagai individu yang kononnya menyalahgunakan kuasa dan kedudukan atau bersifat korup.

 

Dakwaan gagal ambil kira penjelasan

Sebelum penerbitan artikel itu, Azam berkata defendan telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu yang ingin diterbitkan dan beliau telah memberikan penjelasan yang terperinci serta munasabah terhadap pertanyaan yang dikemukakan.

 

Bagaimanapun, beliau mendakwa defendan gagal dan enggan mengambil kira sepenuhnya penjelasan tersebut, sebaliknya memilih untuk menerbitkan artikel dalam bentuk yang berat sebelah, sensasi serta mengelirukan sehingga memberikan gambaran negatif yang tidak benar terhadapnya.

 

Plaintif turut mendakwa defendan gagal mengambil langkah-langkah munasabah untuk mengesahkan ketepatan fakta sebelum penerbitan, termasuk kegagalan menjalankan pengesahan lanjut, semakan silang sumber dan penilaian wajar terhadap maklumat yang diperoleh.

 

“Tindakan defendan-defendan bertentangan dengan prinsip kewartawanan bertanggungjawab serta elemen-elemen di bawah Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, iaitu larangan penerbitan berita palsu atau berita yang tidak disahkan... pihak penerbit mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sesuatu penerbitan adalah tepat, benar dan tidak mengelirukan sebelum disiarkan kepada umum,” katanya dalam pernyataan tuntutan.

 

Beliau juga mendakwa kegagalan defendan mengambil langkah pengesahan yang munasabah walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian menunjukkan sikap cuai melampau, pengabaian melulu terhadap kebenaran serta berniat jahat.

 

Nafikan salah laku, tegaskan patuh peraturan

Selain itu, Azam mendakwa kenyataan fitnah tersebut antara lain membawa maksud beliau seorang pegawai awam yang tidak jujur, tidak berintegriti dan tidak boleh dipercayai; melanggar peraturan pengisytiharan aset; menyalahgunakan kedudukan dan kuasa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk kepentingan peribadi; selain didakwa terlibat dalam salah laku kewangan atau aktiviti meragukan berkaitan pemilikan saham.

 

Plaintif turut mendakwa artikel itu secara sindiran menggambarkan bahawa beliau gagal mematuhi kewajipan pengisytiharan aset atau bertindak secara tidak telus.

 

Beliau menegaskan kenyataan-kenyataan fitnah dan sindiran tersebut adalah tidak benar, tidak berasas serta berniat untuk merendahkan nama baik dan maruahnya di mata umum.

 

Azam berkata beliau mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan aset yang dikenakan ke atas pegawai awam, dan sebarang pemerolehan serta pelupusan saham telah diisytiharkan dengan teratur melalui saluran rasmi yang ditetapkan termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata saham yang disebut dalam artikel itu telah dilupuskan sebelum penerbitan dibuat dan beliau mempunyai keupayaan kewangan yang sah untuk membuat pelaburan tersebut daripada pendapatan yang sah serta faedah persaraan.

 

Menurut Azam, artikel itu mengandungi pelbagai material yang tidak tepat, memberikan gambaran mengelirukan serta penyampaian fakta secara terpilih yang secara keseluruhannya mewujudkan naratif palsu mengenai dirinya. — BERNAMA