Axis REIT batal pengambilalihan aset industri RM800 juta milik Ann Joo Steel di Seberang Perai Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axis REIT batal pengambilalihan aset industri RM800 juta milik Ann Joo Steel di Seberang Perai Tengah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Mac - Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) membatalkan cadangan pengambilalihan hartanah industri bernilai RM800 juta di Seberang Perai Tengah daripada Ann Joo Steel Bhd, anak syarikat milik penuh Ann Joo Resources Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axis REIT berkata keputusan itu dibuat susulan dapatan daripada proses usaha wajar (due diligence) yang didapati tidak memuaskan.

 

Bagaimanapun, REIT berkenaan tidak memperincikan penemuan tersebut.

 

“Sehubungan itu, Axis REIT telah memaklumkan kepada Ann Joo Steel bahawa kumpulan tidak akan meneruskan cadangan pengambilalihan berkenaan dan kedua-dua pihak bersetuju secara bersama untuk menamatkan surat tawaran,” katanya.

 

Menurutnya, susulan penamatan itu, kedua-dua pihak tidak mempunyai sebarang tuntutan antara satu sama lain yang timbul daripada atau berkaitan dengan surat tawaran tersebut.

 

Axis REIT turut menjelaskan bahawa penamatan tersebut tidak dijangka memberi kesan kewangan material kepada kumpulan, begitu juga kepada Ann Joo Resources dan anak-anak syarikatnya.

 

Cadangan pengambilalihan itu sebelum ini diumumkan pada November 2025, melibatkan aset seluas 135.53 ekar yang dilengkapi kemudahan industri.

 

Di bawah struktur asal perjanjian, Ann Joo Steel akan menyewa semula aset berkenaan pada kadar RM4.16 juta sebulan bagi tempoh tetap lapan tahun.

 

Syarikat itu juga merancang untuk memulangkan sebahagian ruang kepada Axis REIT secara berperingkat pada tahun kelima, keenam dan ketujuh pajakan, dengan kadar sewaan diselaraskan berdasarkan pengurangan penggunaan ruang.

 

Sementara itu, unit Axis REIT ditutup susut satu sen atau 0.52% kepada RM1.93 pada Khamis, sekali gus memberikan permodalan pasaran sekitar RM3.91 bilion. - DagangNews.com