Axiata sahkan tiada rancangan melabur di India | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata sahkan tiada rancangan melabur di India

KUALA LUMPUR 19 Dis – Axiata Group Bhd mengesahkan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuat pelaburan baharu di India, susulan langkah memulakan proses penggulungan sukarela Axiata Investments 1 (AI1) (India) Ltd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata proses penggulungan sukarela AI1 dimulakan pada 12 Disember, selaras dengan peruntukan Companies Act 2001 di Mauritius.

 

Menurut Axiata, AI1 kekal tidak aktif sejak selesai pelupusan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam Vodafone Idea Ltd pada 2020.

 

“Axiata tidak mempunyai rancangan untuk pelaburan baharu di India, dan pengurusan AI1 telah mencadangkan penggulungan sukarela oleh ahli syarikat,” katanya.

 

Kumpulan itu memaklumkan proses penggulungan sukarela AI1 dijangka selesai dalam tempoh antara enam hingga sembilan bulan, atau lebih lama, tertakluk kepada penerimaan surat pelepasan cukai daripada pihak berkuasa percukaian.

 

AI1 diperbadankan di Mauritius pada 3 Jun 1997 dengan modal berbayar semasa berjumlah AS$10,000 (RM40,825), merangkumi 10,000 saham biasa bernilai AS$1 setiap satu. - BERNAMA