KUALA LUMPUR 30 Julai – Axiata Group Bhd diyakini mampu mengekalkan komitmen pembayaran dividen sebanyak 10 sen sesaham bagi tahun ini, disokong oleh aliran tunai yang kukuh dan usaha berterusannya dalam mengurangkan hutang, kata CGS International Research (CGSI).
Firma penyelidikan itu berkata, komitmen pembayaran dividen itu dijangka menawarkan hasil sekitar 3.9 peratus tahun ini.
“Selain menjana aliran tunai yang kukuh, Axiata turut merancang untuk membuka nilai sebenar syarikat menerusi langkah strategik mengagihkan tiga aset utamanya kepada pemegang saham.
“Tiga aset tersebut ialah CelcomDigi Bhd, PT XLSmart Telecom Sejahtera Tbk dan Edotco Group Sdn Bhd.
“Langkah ini dijangka dapat menghapuskan apa yang dipanggil sebagai "diskaun syarikat pegangan", iaitu penilaian rendah yang biasanya dikenakan kepada syarikat konglomerat seperti Axiata kerana struktur perniagaannya yang kompleks,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Tambah CGSI, strategi ini merupakan sebahagian daripada pelan penstrukturan semula yang lebih besar termasuk usaha membuka nilai aset utama yang belum disenaraikan seperti Edotco dan PT Link Net Tbk.
“Jika berjaya, pelaksanaan strategi ini dijangka dapat memberikan pulangan lebih tinggi kepada pemegang saham serta membantu menaikkan semula nilai pasaran saham Axiata.
“Keseluruhan proses boleh diselesaikan selewat-lewatnya menjelang awal tahun hadapan,” katanya.
Firma itu turut menyifatkan usaha ini sebagai pemangkin utama bagi penilaian semula saham Axiata, yang kini didagangkan pada diskaun 39% berbanding anggaran nilai aset bersih dinilai semula (RNAV) sebanyak RM4.20 sesaham.
Sehubungan itu, CGSI Research mengekalkan saranan “Tambah” (Add) ke atas saham Axiata dengan harga sasaran RM3.40 sesaham, berdasarkan penilaian RNAV.
Bagaimanapun, CGSI juga memberi amaran risiko utama kepada prestasi Axiata adalah kegagalan menjana nilai daripada aset-asetnya, yang boleh menyebabkan diskaun kepada RNAV kekal tinggi, selain kemungkinan penyusutan ketara dalam keuntungan operasi anak-anak syarikat utama akibat persaingan harga atau kejutan makroekonomi.
Menurut CGSI, aliran masuk dividen daripada syarikat bersekutu dan anak syarikat utama, digabungkan dengan penurunan kos faedah susulan pengurangan hutang bersih di peringkat syarikat induk, akan terus menyokong rancangan dividen Axiata.
Tahun lalu, Axiata menerima RM1.4 bilion dividen daripada syarikat bersekutu dan anak syarikatnya bagi membiayai kos faedah dan operasi syarikat induk.
Meskipun dijangka menerima dividen lebih rendah daripada XLSmart berikutan proses penggabungan yang sedang berlangsung, hasil daripada transaksi tersebut serta usaha pelupusan aset yang sedang giat dijalankan dijangka mampu menampung komitmen dividen tahunan yang dianggarkan mencecah RM900 juta.
Tambah CGSI, peningkatan keuntungan anak syarikat serantau Axiata juga akan membantu memperkukuh komitmen pembayaran dividen jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com








