AWC raih kontrak RM82.46 juta bagi pengurusan fasiliti Kompleks E, Putrajaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AWC raih kontrak RM82.46 juta bagi pengurusan fasiliti Kompleks E, Putrajaya

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Okt – AWC Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ambang Wira Facilities Sdn Bhd (AWFSB) berjaya memenangi kontrak bernilai RM82.46 juta bagi kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti bangunan di Kompleks E, Presint 1, Putrajaya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu AWFSB hari ini telah menandatangani dan menerima Surat Setuju Terima (SST) daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) bagi kontrak tersebut.

 

"Kontrak tersebut meliputi tempoh lima tahun, bermula dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2030, dan jumlah nilai kontrak itu termasuk Cukai Perkhidmatan," katanya dalam kenyataan itu.

 

Menurut AWC, kontrak tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa AWFSB.

 

Katanya, perolehan kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif terhadap pendapatan serta aset bersih Kumpulan AWC sepanjang tempoh kontrak tersebut.

 

“Risiko yang dikaitkan dengan kontrak ini adalah risiko operasi biasa yang lazim bagi projek pengurusan fasiliti bersama pelanggan sektor kerajaan,” kata AWC.

 

Dengan kejayaan memperoleh kontrak ini, AWC terus mengukuhkan kedudukan sebagai salah satu penyedia perkhidmatan pengurusan fasiliti utama di Malaysia, khususnya dalam sektor awam dan bangunan kerajaan.

 

AWC mempunyai buku pesanan melebihi RM700 juta, dengan lebih RM1 bilion dalam tawaran tender merentasi semua bahagian perniagaan. 

 

Selain Kompleks E, Putrajaya, beberapa kontrak utama yang dimenangi termasuk Menara Seri Wilayah, Putrajaya membabitkan kontrak pengurusan fasiliti bernilai RM48.57 juta selama lima tahun bermula 12 Disember 2024 hingga 11 Disember 2029.

 

Projek lain termasuk JB Sentral, Johor Bahru membabitkan kontrak penyelenggaraan bernilai RM30.5 juta selama 54 bulan bermula Oktober 2024 hingga Mac 2029. - DagangNews.com