AWC Berhad jalin kerjasama strategik dengan TwinMatrix Technologies dari Singapura perkukuh operasi digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AWC Berhad jalin kerjasama strategik dengan TwinMatrix Technologies dari Singapura perkukuh operasi digital

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan – AWC Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan syarikat teknologi berpangkalan di Singapura, TwinMatrix Technologies Pte. Ltd bagi meneroka kerjasama dalam inovasi digital merentasi operasi dan infrastruktur yang dikendalikan kumpulan itu.

 

MoU tersebut mewujudkan rangka kerja kerjasama yang tidak mengikat, tertakluk kepada penjajaran strategik, hasil projek perintis serta pelaksanaan perjanjian muktamad pada masa hadapan. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AWC berkata kedua-dua pihak akan meneroka inisiatif transformasi digital terpilih dengan memanfaatkan sistem berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI).

 

“TwinMatrix ialah syarikat teknologi yang pakar dalam mencipta versi digital bangunan dan kawasan sebenar menggunakan AI (twin spatial dan spatial AI) bagi membantu organisasi mengurus dan memantau dunia fizikal mereka secara digital.

 

“Ditubuhkan pada 2023, syarikat ini membangunkan platform yang mengintegrasikan data geospatial, internet benda (IoT) dan data masa nyata ke dalam ekosistem salinan digital bersepadu,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Platform utama TwinMatrix iaitu SpatialVerse, membolehkan bangunan dan kawasan fizikal dipaparkan dalam bentuk digital pintar berasaskan AI. Platform ini digunakan untuk mengurus operasi bangunan, memudahkan navigasi semasa acara dan meningkatkan kecekapan infrastruktur.

 

Teknologi ini telah digunakan di persekitaran yang kompleks seperti Lapangan Terbang Changi, Singapura serta projek infrastruktur lain.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Presiden AWC Berhad Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata, kerjasama dengan TwinMatrix merupakan langkah penting dalam perjalanan AWC ke arah menjadi organisasi yang lebih bersedia menghadapi masa depan dan dipacu secara digital.

 

Menurut beliau, AWC akan menggabungkan kekuatan operasi kumpulan dalam pengurusan fasiliti dan infrastruktur dengan kepakaran TwinMatrix dalam keupayaan kembar digital dan AI bagi memperbaharui kaedah pengurusan aset dan persekitaran operasi.

 

“Fokus kerjasama ini adalah untuk meneroka pelan hala tuju transformasi digital yang mampu meningkatkan keterlihatan aset, penyelenggaraan ramalan, pengoptimuman tenaga dan pengurusan kitar hayat aset.

 

“Pelaksanaan akan dilakukan secara berperingkat, bermula dengan penilaian, program perintis dan inisiatif bukti nilai sebelum diperluaskan ke operasi yang bersesuaian,” katanya.

 

TwinMatrix akan bertindak sebagai rakan kerjasama teknologi dengan menyediakan input nasihat, keupayaan platform serta sokongan teknikal bagi projek perintis yang dipersetujui. 

 

Penekanan juga akan diberikan kepada pemindahan ilmu dan pembinaan keupayaan dalaman bagi memastikan penggunaan teknologi yang mampan dalam jangka panjang.

 

Kerjasama ini turut dilihat strategik berikutan penglibatan AWC dalam sektor pusat data. Cabaran utama pengurusan pusat data termasuk gangguan operasi yang kerap akibat kegagalan kuasa atau sistem penyejukan, selain penggunaan tenaga yang tinggi dan sistem data yang berpecah-pecah.

 

Bagi menangani isu tersebut, penyelesaian TwinMatrix menawarkan platform bersepadu yang mewujudkan replika digital kemudahan fizikal dengan menggabungkan peta asas 2D dan 3D, integrasi IoT serta spatial AI. 

 

Pendekatan ini membolehkan pemantauan masa nyata, penyelenggaraan ramalan, simulasi operasi dan peningkatan kecekapan tenaga serta aspek keselamatan. - DagangNews.com