KUALA LUMPUR 26 Feb - AUF MBZ Consortium PLT, yang dikaitkan dengan kes urus niaga sekuriti tanpa lesen melibatkan seorang pakar kewangan Islam terkemuka, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Pengasasnya, Datuk Mahadi Badrul Zaman, mewakili syarikat berkenaan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa menjalankan aktiviti dikawal selia iaitu berurusan dalam sekuriti tanpa memiliki Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) atau berdaftar bagi aktiviti berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023 di Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya, Selangor.
Pertuduhan kedua pula menuduh syarikat sama melakukan kesalahan serupa di lokasi yang sama antara 3 September 2021 hingga 15 Februari 2024.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 58(4), yang memperuntukkan denda sehingga RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, K. Mageswary, memaklumkan mahkamah bahawa tiada jaminan dicadangkan memandangkan pertuduhan dikenakan terhadap sebuah syarikat dan bukannya individu.
Syarikat berkenaan diwakili peguam Zamri Idrus.
Mahkamah menetapkan 10 April ini untuk pengurusan kes.
Pada Isnin lalu, pakar kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, didakwa bersubahat dengan AUF MBZ Consortium, Mahadi dan Iqbal Mohamad untuk menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023. Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen.
Mereka turut diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sekali sebulan.
Mahadi, yang merupakan individu utama dalam kes ini, turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Azrul Darus, iaitu didakwa menjalankan urus niaga sekuriti tanpa CMSL antara 3 September 2021 hingga 15 Februari 2024.
Mohd Daud diperintahkan membayar jaminan RM50,000, manakala Mahadi dikenakan jaminan keseluruhan RM100,000. Jaminan terhadap Iqbal ditetapkan sebanyak RM50,000. - DagangNews.com








