Asia OneHealthcare kumpulan hospital pertama jalin kerjasama akses penjagaan kesihatan MediExpress | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asia OneHealthcare kumpulan hospital pertama jalin kerjasama akses penjagaan kesihatan MediExpress

CHAN Boon Kheng (kanan) bertukar-tukar dokumen MoU dengan Kenny Tai (kiri) di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 FebAsia OneHealthcare (A1Health) mencatat sejarah sebagai kumpulan hospital pertama yang menjalinkan kerjasama secara strategik dengan MediExpress (Malaysia) Sdn Bhd.


Menurut kenyataan kumpulan berkenaan, langkah tersebut bertujuan memperkukuhkan lagi akses, kecekapan serta kemampuan penjagaan kesihatan swasta menerusi model yang lebih terurus.


Kerjasama yang dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) itu menyaksikan MediExpress bertindak sebagai rakan penjagaan kesihatan terurus merentasi rangkaian hospital A1Health.


Jelasnya, tumpuan utama kedua-dua pihak tersebut akan lebih kepada penyelarasan dari segi rawatan, kelancaran proses pentadbiran dan kelestarian pembiayaan kesihatan secara jangka panjang.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan A1Health, Dr Chan Boon Kheng berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen kumpulan untuk menangani cabaran peningkatan kos dan akses penjagaan kesihatan.


“Dengan penyelarasan antara hospital, syarikat insurans dan laluan rawatan, kami meningkatkan kecekapan serta memastikan pesakit menerima rawatan tepat pada masa dan tempat sesuai,” katanya.


A1Health jelas beliau, pada ketika ini mengendalikan sejumlah 21 hospital, termasuk 12 Hospital Columbia Asia, Pusat Perubatan Subang Jaya, Ara Damansara, ParkCity dan Bukit Tinggi.
 

AsiaOne


Selain itu, ia menguruskan lima hospital kepakaran tinggi iaitu Hospital Beacon, Hospital Pakar Kardiovaskular, Hospital Ortopedik ALTY, Hospital Picasso dan Northern Heart Penang Hospital.


Melalui kerjasama ini, ahli-ahli MediExpress menikmati aliran rawatan lebih jelas, pengalaman pesakit yang lancar serta ketelusan kos rawatan, kurang halangan kewangan dan pentadbiran.


Ketua Pegawai Eksekutif MediExpress, Kenny Tai berkata, pendekatan berasaskan data, pengurusan sumber cekap dan struktur harga lebih jelas menjadi teras strategi syarikat dalam mengawal kos.


"Kerjasama ini turut menekankan penjagaan pencegahan dan pengurusan jangka panjang, termasuk akses kepada Program Transformasi Kesihatan A1Health, tanpa menjejaskan kualiti rawatan," katanya.


Langkah berkenaan jelas beliau, selari dengan usaha nasional dalam menangani peningkatan penyakit yang tidak berjangkit seperti diabetes atau kencing manis, obesiti dan penyakit kardiovaskular.


Majlis pemeteraian MoU diadakan di Hospital Columbia Asia Batu Kawan, Pulau Pinang, bersempena sambutan 30 tahun Columbia Asia serta pembukaan hospital terbaharu kumpulan tersebut. - DagangNews.com