Aset rizab rasmi Malaysia kini AS$121.28 bilion setakat Julai 2025 – BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aset rizab rasmi Malaysia kini AS$121.28 bilion setakat Julai 2025 – BNM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Aset rizab rasmi Malaysia kini berjumlah AS$121.28 bilion (AS$1 = RM4.22) setakat akhir Julai 2025, manakala aset mata wang asing lain mencecah AS$603.7 bilion, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

BNM berkata, selaras dengan format International Monetary Fund (IMF) Special Data Dissemination Standard (SDDS), pecahan terperinci rizab antarabangsa ini memberi maklumat ke hadapan mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain.

 

Laporan ini turut memberi panduan mengenai aliran masuk dan keluar pertukaran asing kerajaan persekutuan serta BNM bagi tempoh 12 bulan akan datang.

 

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa di bawah format IMF SDDS menunjukkan bahawa setakat akhir Julai 2025, rizab antarabangsa Malaysia kekal boleh digunakan,” kata BNM dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi tempoh 12 bulan akan datang, BNM menjelaskan aliran keluar jangka pendek mata wang asing yang telah ditetapkan – termasuk pinjaman, sekuriti dan deposit, serta bayaran balik hutang luar kerajaan dan kematangan Bank Negara Interbank Bills dalam mata wang asing – berjumlah AS$14.65 bilion.

 

Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$21,171.5 juta pada akhir bulan Julai 2025, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

 

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2,677.4 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

Sementara itu, BNM berkata satu-satunya kemungkinan aliran keluar bersih jangka pendek ke atas aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang mata wang asing yang perlu dijelaskan dalam tempoh setahun, berjumlah AS$417.1 juta.

 

"Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. 

 

"Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," kata kenyataan itu.  - DagangNews.com