KUALA LUMPUR 31 Okt – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$123.59 bilion pada akhir September 2025 manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$201.9 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut bank pusat itu, butiran terperinci rizab antarabangsa Malaysia memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, serta aset mata wang asing lain mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ia turut menyediakan maklumat mengenai jangkaan dan prospek aliran masuk keluar pertukaran asing bagi tempoh 12 bulan akan datang melibatkan Kerajaan Persekutuan dan BNM.
“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan September 2025 tetap boleh guna,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.
BNM berkata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$15,424.1 juta.
Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing.
“Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$20,815.8 juta pada akhir bulan September 2025, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.
Bank pusat itu berkata, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek serta unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2,804.3 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang.
BNM berkata, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan Kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$417 juta.
“Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya. - DagangNews.com








