KUALA LUMPUR 26 Mei (Bernama) - ASEAN perlu mempertahankan sistem multilateral atau pelbagai hala dan memastikan model geo-ekonomi ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China terus memainkan peranan bermakna dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan untuk rantau ini dan rakyatnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penganjuran Sidang Kemuncak-GCC-China yang julung-julung kali diadakan mencerminkan semangat muhibah dan komitmen blok serantau itu untuk memperdalam dan memperluas kerjasama dengan kejelasan strategik.
“Saya percaya sidang kemuncak tiga pihak ini menunjukkan kejayaan dalam membentuk semula matriks perkongsian yang selari dengan realiti multipolar (sistem yang terdiri daripada beberapa pusat kuasa) hari ini.
“Ia melambangkan kuasa perpaduan blok serantau, yang sudah pasti, akan memberi impak positif kepada dunia secara keseluruhan,” kata beliau dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 (Pleno) di sini hari ini.
Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China merupakan detik penting dalam memperkukuh kerjasama tiga pihak.
Perdana Menteri berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau yang mampu memberi impak positif kepada dunia secara keseluruhan.
Menurut beliau, kesatuan antara ketiga-tiga pihak itu membuktikan kejayaan dalam merangka semula kerjasama serantau sejajar perubahan dinamik dunia multipolar.
“Negara anggota ASEAN mesti mempertahankan sistem pelbagai hala,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama geoekonomi ASEAN-GCC-China perlu terus memainkan peranan penting ke arah membentuk masa depan yang lebih terangkum dan mampan untuk manfaat rantau ini dan rakyatnya.
Tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bagi tahun 2025 ialah “Keterangkuman dan Kemampanan.”
Antara Ketua Negara dan Kerajaan yang hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Timor Leste Xanana Gusmão selaku Pemerhati dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas mengetuainya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sempena sidang kemuncak kali ini, dua pertemuan penting turut diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sulung, yang menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau. - BERNAMA








