KUALA LUMPUR 31 Okt – Sektor penerbangan negara bakal menyaksikan kemunculan pemain baharu apabila Ascend Airways Malaysia Sdn. Bhd. menerima kelulusan rasmi operasi daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), sekali gus membuka laluan untuk syarikat itu memulakan operasi pada November ini dengan pesawat pertama jenis Boeing 737-800SF.
Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu merupakan anak syarikat kepada Avia Solutions Group, sebuah penyedia global perkhidmatan pesawat, kru, penyelenggaraan dan insurans (ACMI) yang beribu pejabat di Ireland.
Dalam kenyataan hari ini, Ascend Airways Malaysia memaklumkan ia telah memperoleh Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) daripada CAAM, melengkapkan proses pelesenan yang bermula selepas menerima Permit Perkhidmatan Udara Bersyarat (CASP) pada tahun 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Germal Singh Khera, berkata Ascend Airways Malaysia akan menumpukan kepada penyediaan perkhidmatan ACMI dan penerbangan charter bagi penumpang serta kargo di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
"Matlamat kami adalah untuk menawarkan penyelesaian ACMI yang fleksibel bagi menyokong pertumbuhan industri penerbangan Malaysia. Dengan kedudukan strategik negara sebagai hab logistik dan penerbangan yang menghubungkan Asia Tenggara, China dan India, kami yakin Malaysia berada pada landasan kukuh untuk berkembang,” katanya.
Tambah Germal, operasi penerbangan penumpang Ascend Airways dijangka bermula pada suku pertama 2026, tertakluk kepada kelulusan tambahan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau turut menegaskan pertumbuhan trafik penumpang di Malaysia dijangka meningkat antara 8.4% hingga 15.6% tahun ke tahun pada 2025, dengan jumlah penumpang diunjur mencecah 105.8 juta hingga 112.9 juta orang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata pengeluaran AOC dan ASP kepada Ascend Airways Malaysia adalah hasil daripada penilaian teliti yang menepati piawaian keselamatan serta keperluan teknikal CAAM.
"Ascend Airways Malaysia menunjukkan tahap komitmen yang tinggi sepanjang proses pensijilan. Pihak CAAM mengiktiraf usaha dan kepatuhan mereka terhadap standard keselamatan penerbangan antarabangsa,” ujarnya.
Dengan kelulusan ini, Ascend Airways Malaysia dijangka menjadi antara penggerak utama dalam segmen ACMI dan penerbangan charter serantau, seiring usaha kerajaan memperkukuh Malaysia sebagai hab penerbangan dan logistik di Asia.
Ketika ini, Avia Solutions Group mengendalikan 187 buah pesawat di Eropah, Asia dan Amerika, serta terus mengembangkan portfolio globalnya melalui penubuhan syarikat penerbangan di pelbagai pasaran utama. DagangNews.com








