Aquawalk, pengendali Aquaria KLCC sasar raih sehingga RM114.3 juta melalui IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aquawalk, pengendali Aquaria KLCC sasar raih sehingga RM114.3 juta melalui IPO di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt – Aquawalk Group Berhad, pengendali Aquaria KLCC menyasarkan untuk mengumpul hingga RM114.3 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 19 November 2025.

 

Di bawah IPO tersebut, Aquawalk akan menerbitkan 368.6 juta saham baharu dan menawarkan 368.6 juta saham sedia ada kepada pelabur, mewakili 40% daripada modal saham diperbesarkan selepas penyenaraian. 

 

“Pada harga terbitan 31 sen sesaham, syarikat dijangka mempunyai modal pasaran RM571.3 juta berdasarkan 1.843 bilion saham terbitan.

 

“Hasil terbitan saham baharu itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal bagi menaik taraf dan membangunkan tarikan baharu dan sedia ada, penambahbaikan sistem teknologi maklumat, modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian. 

 

“Sebahagian besar dana akan disalurkan kepada projek baharu bagi merealisasikan visi Aquawalk menjadi hab pendidikan lautan terkemuka di rantau ini serta memacu usaha pemuliharaan marin,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ditubuhkan pada 2005, Aquawalk adalah operator beberapa akuarium bertaraf dunia termasuk Aquaria KLCC yang menerima lebih sejuta pengunjung setiap tahun. 

 

t

 

Kumpulan itu turut memiliki dan mengendalikan Aquaria Phuket serta memegang 40% kepentingan dalam Jakarta Aquarium & Safari (JAQS).

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Aquawalk Group, Datuk Simon Foong berkata, syarikat itu bakal menjadi oceanarium pertama di rantau ini untuk disenaraikan di pasaran saham seterusnya membuka laluan bagi pengembangan lebih agresif di Asia Pasifik.

 

“Penyenaraian ini sangat penting dalam strategi pertumbuhan syarikat bagi mengukuhkan kedudukan modal, mengembangkan portfolio aset dan meneroka peluang serantau dalam industri tarikan marin.

 

“Kami bukan sekadar pengendali akuarium. Kami membina destinasi, mencipta pengalaman dan menginspirasikan pembelajaran. 

 

“Matlamat kami adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang mengenali, mencintai dan melindungi lautan,” katanya.

 

Permohonan bagi bahagian terbitan awam IPO kini dibuka dan akan ditutup pada 7 November 2025.

 

M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Pengurus Terbitan, Penaja Bersama dan Ejen Penempatan Bersama, manakala CGS International Securities Malaysia merupakan Penaja Bersama dan Ejen Penempatan Bersama bagi urus niaga IPO ini. - DagangNews.com