Apex Healthcare terima tawaran bersyarat Pharmora pada harga RM2.64 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Apex Healthcare terima tawaran bersyarat Pharmora pada harga RM2.64 sesaham

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis – Apex Healthcare Berhad (AHB) menerima tawaran sukarela bersyarat daripada Pharmora Investment Holdings Pte. Ltd. untuk mengambil alih semua baki saham syarikat yang belum dimiliki, termasuk saham baru yang mungkin diterbitkan melalui pelaksanaan opsyen saham eksekutif.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AHB berkata, tawaran ini dikendalikan oleh UOB Kay Hian (M) Sdn. Bhd yang menetapkan harga tunai RM2.64 setiap saham.

 

Ia merangkumi saham yang dimiliki oleh pihak berkepentingan utama lain seperti Quadria Capital Fund III Holdings Pte. Ltd., Dr Kee Kirk Chin, dan Apex Holdings (Pte) Ltd.

 

Menurut Pekeliling Nasihat Bebas (IAC) bertarikh 8 Disember 2025, tawaran ini bertujuan memperkukuh pemilikan Pharmora dalam AHB dan meningkatkan kecekapan operasi syarikat.

 

AHB berkata, semua pemegang saham digalakkan meneliti dokumen nasihat bebas daripada Kenanga Investment Bank Berhad bagi mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai tawaran ini.

 

“Sebanyak 709.28 juta saham AHB mewakili kira-kira 98.24% daripada jumlah saham diterbitkan, termasuk dalam tawaran ini. 

 

“Selain itu, 1.84 juta opsyen saham eksekutif turut terlibat dalam tawaran, kecuali 130,000 opsyen milik Dr Kee yang tidak akan digunakan sebelum tarikh tutup tawaran,” kata AHB.

 

Pemegang saham yang telah memberikan komitmen sah (Undertaking) turut dijamin akan menerima tawaran ini, termasuk APHSB, XHSB, WHSP Holdings, Kee Kirk Chuen, dan Tan Su-Ann, yang secara keseluruhan mewakili 71.19% daripada jumlah saham diterbitkan AHB.

 

Tawaran ini dijangka ditutup pada 19 Disember 2025 tertakluk kepada lanjutan sekiranya diperlukan, dan semua pemegang saham dinasihatkan berunding dengan penasihat profesional jika terdapat sebarang keraguan sebelum membuat keputusan menerima tawaran. - DagangNews.com