Analisis kos-faedah ART sedang dijalankan, fokus lindungi pelaburan & industri tempatan – Johari Ghani | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Analisis kos-faedah ART sedang dijalankan, fokus lindungi pelaburan & industri tempatan – Johari Ghani

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan – Kerajaan sedang melaksanakan analisis kos-faedah secara terperinci bagi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat bagi memastikan kepentingan ekonomi negara kekal terpelihara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Beliau berkata analisis kos-faedah atau Cost Benefit Analysis (CBA) biasanya mengambil tempoh antara enam hingga 12 bulan untuk dilaksanakan secara komprehensif.

 

“ART bukanlah perjanjian biasa, sebaliknya bersifat unilateral, membolehkan Amerika Syarikat mengenakan tarif sendiri terhadap barangan import Malaysia.

 

“Sebagai contoh, pada 2 April 2025, Amerika Syarikat mengenakan tarif tinggi pada kadar 24 peratus, yang mendorong Malaysia memulakan rundingan segera bagi menurunkan kadar tersebut.

 

“Hasil rundingan yang dijalankan MITI bersama pihak Amerika Syarikat pada 1 Ogos 2025 berjaya menurunkan kadar tarif kepada 19 peratus, daripada yang dijangka meningkat kepada 25 peratus pada 7 Julai 2025,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan telah melaksanakan  analisis kos faedah secara terperinci  sebelum menandatangani ART dalam soal jawab lisan di Parlimen hari ini.

 

Selain itu, Johari berkata ketidaktentuan mengenai kadar tarif ini berpotensi menjejaskan persekitaran pelaburan negara dan boleh menyebabkan syarikat multinasional (MNC) memindahkan operasi ke negara lain dengan kadar tarif lebih rendah.

 

Perkara ini, katanya, akan memberi kesan langsung kepada perniagaan industri kecil dan sederhana tempatan yang membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada MNC tersebut.

 

“Lebih serius, kesannya juga boleh dirasai oleh rakyat, dengan sebahagian besar berkemungkinan kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

 

“MITI kini bekerjasama dengan agensi-agensinya, termasuk MATRADE, MIDA, dan dibantu oleh MIDF Research, untuk melaksanakan CBA bagi ART,” katanya.

 

Tumpuan khusus analisis ini ialah kesan terhadap eksport Malaysia ke Amerika Syarikat yang bernilai RM233.1 bilion serta lebihan dagangan negara yang berjumlah RM98.7 bilion.

 

Menjawab soalan lain Radzi ngenai rundingan semula ART pula, Johari berkata Malaysia sedang meneliti semula intipati ART bagi memastikan kepentingan ekonomi negara tetap terpelihara dan risiko perdagangan dapat dikurangkan.

 

“Sehingga kini, Malaysia belum menerima notis rasmi daripada Amerika Syarikat mengenai garis masa untuk meratifikasi ART.

 

“Tarif unilateral adalah hak prerogatif Amerika Syarikat. Sekiranya ART ditamatkan, ia dijangka akan mewujudkan persekitaran ekonomi yang tidak tentu dan tidak stabil bagi Malaysia, yang boleh menjejaskan perdagangan dan pelaburan dalam negara,” katanya - DagangNews.com