Anak syarikat Maxim raih pembiayaan Ambank Islamic RM54 juta tingkatkan pembangunan projek di Cheras | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Maxim raih pembiayaan Ambank Islamic RM54 juta tingkatkan pembangunan projek di Cheras

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 April –  Maxim Global Berhad menerusi anak syarikatnya memperoleh kemudahan pembiayaan Islam berjumlah RM54 juta bagi menyokong pembangunan projek infrastruktur di Cheras.


Kumpulan itu berkata, F3 Cheras Development Sdn Bhd, yang dimiliki 70% secara tidak langsung, sudah menandatangani surat tawaran kemudahan tersebut dengan AmBank Islamic Berhad pada 1 April 2026.


Menurutnya, pembiayaan patuh Syariah itu digunakan sebahagiannya bagi menampung kos pembangunan berkaitan kerja penyahtauliahan dan naik taraf loji rawatan kumbahan di Alam Damai, Cheras.


“Antara cagaran utama termasuk caj ke atas beberapa hartanah milik kumpulan, ke atas projek serta penyerahan hak di bawah perjanjian penswastaan bersama kerajaan,” maklum Maxim kepada bursa.


Kumpulan berkenaan turut memberikan jaminan korporat bagi menyokong kemudahan tersebut, dan fari sudut kewangan, kemudahan itu tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham.


Bagaimanapun jelasnya, pinjaman tersebut dijangka meningkatkan lagi kos faedah dan perbelanjaan pembiayaan yang akan memberi kesan langsung kepada keuntungan kumpulan dalam jangka pendek.


Segala kos berkenaan kata Maxim, dijangka masih dilindungi oleh pendapatan masa hadapan kumpulan itu daripada pembangunan tanah pertukaran selepas projek pembangunan tersebut disiapkan.


"Dari segi kedudukan kewangan, ia dijangka meningkatkan tahap gear kepada maksimum 0.105 kali, berdasarkan ekuiti terkini berjumlah kira-kira RM516 juta setakat 31 Disember 2024," jelasnya.


Kumpulan berkenaan turut memaklumkan yang tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak dalam kemudahan pembiayaan itu. - DagangNews.com