Anak syarikat Genting Plantations didenda RM96.6 juta oleh pasukan penguat kuasa hutan Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat Genting Plantations didenda RM96.6 juta oleh pasukan penguat kuasa hutan Indonesia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Jan - Genting Plantations Bhd memaklumkan unitnya di Indonesia telah dikenakan denda sebanyak 396 bilion rupiah (RM96.6 juta) oleh Pasukan Petugas Penguatkuasaan Kawasan Hutan Indonesia berhubung dakwaan ketidakpatuhan operasi di kawasan yang diwartakan sebagai hutan.

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, kumpulan perladangan itu berkata anak syarikat tidak langsungnya yang dimiliki sebanyak 95%, PT Susantri Permai, telah menerima notis interim daripada pasukan petugas berkenaan.

 

Menurut kenyataan itu lagi, PT Susantri Permai telah membuat bayaran denda tersebut dan kini menunggu proses pemuktamadan oleh pihak berkuasa Indonesia.

 

Bagaimanapun, Genting Plantations tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai bentuk pelanggaran yang didakwa berlaku, selain tidak menyatakan sama ada penalti berkenaan akan memberi kesan material terhadap prestasi kewangan kumpulan.

 

Indonesia kebelakangan ini memperketatkan tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat perladangan yang didakwa beroperasi secara tidak sah di zon hutan yang diwartakan.

 

Sebahagian besar tanah yang dirampas dipindahkan kepada syarikat perladangan milik kerajaan, Agrinas Palma Nusantara.

 

Menurut laporan tahunan kumpulan, Genting Plantations, unit kepada Genting Bhd, mempunyai bank tanah kira-kira 64,300 hektar di Malaysia dan sekitar 178,900 hektar di Indonesia, termasuk skim plasma.

 

Kumpulan tersebut mengendalikan tujuh kilang minyak sawit di Malaysia dan enam di Indonesia, dengan kapasiti pengilangan gabungan sebanyak 725 tan sejam.

 

Dari segi prestasi pasaran, saham Genting Plantations meningkat 0.4% kepada RM5.16 pada rehat tengah hari Jumaat, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sekitar RM4.63 bilion. Namun begitu, saham tersebut telah menyusut 9.31% sepanjang tempoh setahun lalu. - DagangNews.com